suria

Zambry dan enam Exco akan guna saluran undang-undang

PULAU PANGKOR: Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exco kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang bagi menyelesaikan tindakan menggantung mereka daripada menyertai mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Buat masa ini kami akan menjalankan tugas seperti biasa," katanya mengulas tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar menggantung dan melarang beliau dan enam anggota Exco menghadiri persidangan dewan selama 12 bulan.

"Apa yang penting adalah kesahihan tindakan Sivakumar yang membuat keputusan sertamerta dan melakukan pembohongan besar kononnya kesemua mereka gagal dan tidak memberikan sebarang penjelasan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang diadakan petang semalam.

"Tidak timbul soal saya dan enam (exco) berhadapan masalah untuk masuk DUN kerana isunya sekarang adalah cara dia bertindak," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian program Hari Masyarakat Nelayan, Penternak dan Petani Negeri Perak yang disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed di sini, semalam.

Katanya, sebagai Speaker DUN Perak, Sivakumar seharusnya menyedari adakah tindakannya itu benar-benar berdasarkan lunas undang-undang.

"Dalam surat berkenaan, beliau secara jelas mendakwa saya dan enam Exco gagal memberikan penjelasan kepada jawatankuasa tersebut dan kenyataan bohong itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Speaker DUN. Dia tidak patut berbohong," katanya.

Di IPOH, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Datuk Seri Junus Wahid berkata tindakan Sivakumar dilihat seperti kemaruk kuasa dan takut kehilangannya.

"Tindakan Sivakumar itu juga adalah satu 'jalan belakang' bagi mempertikai keputusan dan kuasa eksklusif Sultan Perak dalam pelantikan jawatan menteri besar dan enam Exco baru kerajaan negeri Perak yang kini diterajui oleh Barisan Nasional," kata Junus yang memegang jawatan tersebut pada 2000 hingga 2004.

Katanya, Sivakumar juga bertindak melulu dengan mengetepikan peraturan DUN sebelum membuat keputusan berkenaan.

"Adalah salah baginya untuk menguatkuasakan keputusan dengan serta merta tanpa dibentang dan dibacakan terlebih dahulu di persidangan DUN. Pada hemat saya apa yang berlaku ini amat lucu sekali," katanya ketika mengulas mengenai perkara itu.

Beliau turut menyifatkan tindakan yang diambil Sivakumar sebagai ganjil dan keputusan berkenaan boleh dipertikaikan daripada pelbagai aspek.

Beliau berkata, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN yang diketuai oleh Sivakumar daripada parti DAP kawasan Tronoh itu sepatutnya membenarkan ia dibentang dan dibacakan terlebih dahulu pada persidangan sebelum mengambil tindakan itu.

Junus turut mempersoal kewajaran Sivakumar membuat keputusan itu sedangkan permohonan saman terhadap Zambry dan kerajaan BN baru yang difailkan oleh bekas menteri besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sedang berjalan di mahkamah.

"Mengapa tidak tunggu sahaja mahkamah membuat keputusan. Apa yang berlaku kini buat rakyat bertambah keliru," katanya.

Katanya tindakan Sivakumar itu "tidak masuk akal" kerana tindakan yang diambil adalah terhadap perkara yang berlaku di luar persidangan DUN.

"Kebiasaannya kuasa seorang Speaker untuk mengambil tindakan hanyalah terbatas bagi kelakuan ADUN semasa persidangan DUN berjalan. Tetapi tindakan yang diambil ini adalah terhadap perkara yang berlaku di luar dewan," katanya.

"Mereka tidak melantik diri mereka sendiri. Lantikan adalah dibuat dengan perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah. Jadi mengapa tindakan perlu terhadap menteri besar dan enam Exco berkenaan?," soalnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan