suria

Anggota trafik mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah

ALOR SETAR: Seorang anggota trafik berpangkat Koperal di cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima rasuah sebagai dorongan untuk tidak menyaman seorang penunggang motosikal pada 1 November tahun lalu.

Nordin Muhamad Nor, 46, didakwa menerima suapan wang tunai sebanyak RM180 untuk tidak menyaman Khoo Shu Shan atas kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen dan tamat cukai jalan, di bulatan Teluk Wanjah di sini pada kirakira pukul 6.40 petang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta yang sama (Akta 575) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Hakim Chan Jit Li membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM3,000 tetapi dibenarkan cagaran sebanyak RM2,000 dan menetapkan 2 April depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fieza Fazlin Fandi. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain