SHAH ALAM: Seorang bomoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol seorang wanita yang datang ke rumahnya untuk mendapatkan rawatan perubatan tradisional, akhir tahun lepas.Mohd Ikrar Munjeet Abdullah, 51, yang juga seorang inspektor bas bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Hasbi Hasan. Tertuduh didakwa merogol mangsa yang berumur 22 tahun di No: DG17, Blok D, Apartment Dahlia, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, Rawang dekat sini, antara pukul 11 pagi, 13 Disember hingga pukul 9 pagi keesokan harinya.Mohd Ikrar didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.Penolong Pendakwa Raya Wan Noora Nisa Ngadirin membantah jaminan diberikan kepada tertuduh dengan alasan kesalahan itu serius dan dibimbangi tertuduh akan mengganggu mangsa sekiranya dia dibenarkan ikat jamin.Hasbi bagaimanapun membenarkan Mohd Ikrar diikat jamin sebanyak RM10,000 dan menetapkan 13 Apr depan untuk sebutan semula kes bagi tertuduh melantik peguam. BERNAMA