KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah Welli Multi Corporation Berhad hari ini minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan mengemukakan pernyataan mengelirukan kepada Bursa Malaysia Securities Berhad dalam laporan kewangan suku tahun syarikat berakhir 30 Sept, 2006.Tan Chin an, 53, didakwa menyatakan dalam laporan tersebut bahawa hasil pendapatan syarikat perniagaan itu berjumlah RM182.7 juta, pada hal jumlah itu sebenarnya jauh lebih rendah. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bursa Malaysia Securities Berhad antara 27 dan 28 Feb, 2007.Tan didakwa di bawah Seksyen 122B(b) Akta Perinustrian Sekuriti 1983 yang membawa hukuman denda sehingga RM3 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau keduaduanya sekali, jika sabit kesalahan.Pada 16 April tahun lepas, dua beradik, Ang Sung Beng, 62 dan Ang Soon An, 58, yang juga pengarah syarikat berkenaan, mengaku tidak bersalah bagi tuduhan sama.Pegawai Pendakwa Oon Wei Li dari Suruhanjaya Sekuriti memohon kepada mahkamah supaya tertuduh dikenakan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanannya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.Bagaimanapun, peguam tertuduh, Ahmad Amir Mahmood berkata anak guamnya kini tidak bekerja dan meminta mahkamah mengurangkan nilai ikat jamin.Hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasport Tan diserahkan ke mahkamah.Beliau menetapkan esok untuk sebutan semula kes itu bagi mendengar hujah berhubung permohonan pihak pendakwa agar kes itu didengar bersama dengan pasangan adikberadik itu.Tan kemudian menjelaskan wang jaminan tersebut. BERNAMA