MENTERI Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.--fotoNANYANG SIANG PAUKUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan rasuah politik dan salah guna kuasa dalam kementerian itu."Saya bersedia dan saya akan memberi sepenuh kerjasama kepada SPRM jika dipanggil (untuk beri keterangan). Namun sehingga sekarang, saya masih belum mendapat panggilan daripada pihak berkenaan (SPRM). Saya juga tidak pasti sama ada saya akan dipanggil atau tidak," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, semalam. Petugas media mula berkumpul di pejabatnya seawal 9 pagi bagi mendapatkan ulasan beliau berikutan laporan SPRM melakukan pemeriksaan mengejut di Kementerian Pelancongan semalam dan dikatakan merampas sejumlah fail serta menyoal siasat beberapa pegawai kementerian itu.Azalina yang ditemui selepas menghadiri satu mesyuarat di pejabatnya, kelihatan tenang menjawab soalan wartawan.Ditanya mengenai bilangan pegawainya yang disoal siasat dan dokumen kementerian yang dirampas oleh SPRM, Azalina berkata beliau tidak mengetahui tentang perkata itu."Saya tak tahu... saya tak tahu jumlah yang kena ambil keterangan dan dokumen yang diambil SPRM, saya hanya tahu mengenai serbuan itu melalui pegawai saya dan laporan akhbar hari ini," katanya. Azalina berkata beliau menghormati SPRM sebagai sebuah badan yang profesional."Saya yakin terhadap SPRM. SPRM merupakan agensi profesional dan mereka hanya menjalankan tugas mereka," katanya.Azalina berkata beliau juga tidak mengetahui mengenai tujuan penyiasatan SPRM terhadap kementeriannya."Saya tak begitu pasti apa yang mereka (SPRM) cari dan tujuan soal siasat berkenaan. Saya juga yakin seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya," katanya.Azalina bagaimanapun menolak kemungkinan ada pihak ketiga yang cuba menjatuhkan imej dan memburukkan reputasi beliau menjelang Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung dari 24 hingga 28 Mac ini.Pada perhimpunan berkenaan, Azalina, yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, akan mencuba nasib mempertahankan jawatan itu. BERNAMA