KUALA LUMPUR: Beberapa pemegang jawatan tinggi Umno kini disiasat ekoran aduan berlaku amalan politik wang dua tiga hari menjelang perhimpunan agung parti itu minggu lepas, kata Anggota Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas."Saya tak ariflah kes-kes yang mana disiasat sekarang tapi saya dengar memang ada kes yang sedang disiasat. "Sampai hari ini boleh tahan jugalah (bilangannya). Berkaitan dengan jawatan tinggi pun ada banyak," katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja pada Sidang Kemuncak Anti Rasuah "Tiada Tolak Ansur Bagi Rasuah" anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) dan Transparency International Malaysia di sini hari ini.Beliau ditanya sama ada masih terdapat laporan politik wang yang disiasat oleh lembaga itu walaupun setelah perhimpunan agung Umno itu berakhir Sabtu lepas."Memang dalam perhimpunan agung, itulah masanya pun berkempen cara politik wang," kata Megat Najmuddin sambil menjelaskan beliau bagaimanapun tidak terbabit secara langsung dalam siasatan berkenaan kerana sebagai anggota lembaga mereka tidak boleh menjadi penyiasat, pendakwa dan juri sekaligus.Ditanya sama ada kes berkenaan membabitkan juga Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, beliau berkata sekiranya terdapat bukti sesiapapun akan dikenakan tindakan."Sesiapapun kita akan dakwa kalau ada bukti sahih yang teguh, tapi kalau bukti tak kuat, susah. Baik laporkan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau Lembaga Disiplin," katanya.Megat Najmuddin berkata pemberian wang untuk belanja makan dan minyak bukan merupakan satu kesalahan kerana yang penting ialah niat di sebalik pemberian wang itu."Kalau RM50 sekalipun tujuannya untuk membeli undi itu dikira rasuah politik dan politik wang. Jumlah tidak penting dan apa yang penting ialah niat," katanya.Beliau menyambut baik kenyataan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu Lembaga Dispilin distruktur semula untuk diperkasakan."Elok sangatlah sebab kita pun tak ada jentera yang ramai untuk bekerja. Negara kita agak besar, Umno juga besar dengan anggotanya lebih tiga juta orang, jadi kita perlu perkasakan," katanya.Sebelum itu, semasa membentangkan kertas kerjanya, Megat Najmuddin mencadangkan lima langkah membanteras rasuah iaitu mengenakan hukuman lebih berat terhadap pemberi dan penerima rasuah, gaji lebih baik untuk kakitangan awam, kurangkan birokrasi, ketelusan dalam penajaan politik dan pendidikan yang memberi tumpuan kepada hakikat bahawa rasuah itu adalah satu dosa. BERNAMA