suria

Bas bawa pelajar sekolah terbalik, 35 cedera

KUALA LUMPUR: Tiga puluh lima pelajar dari dua buah sekolah cedera apabila bas yang mereka naiki menuju ke Kajang terbabas lalu terbalik di hadapan Pasaraya Giant Taman Connaught, Cheras, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang, bas berkenaan membawa pelajar Sekolah Menengah Jalan Bukit Kajang dan Sekolah Menengah Convent Bukit Nenas Kajang sedang dalam perjalanan balik daripada menghadiri seminar peperiksaan tingkatan 3, 4 dan 5 di Universiti Malaya.

Kemalangan berlaku apabila pemandu bas yang dipercayai gagal mengawal kenderaan itu telah terlanggar lubang di jalan raya sebelum bas itu terbabas lalu terbalik.

Rombongan pelajar itu menaiki tiga buah bas dan hanya sebuah daripadanya terlibat dalam kemalangan.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Ahmad Amir Mohd Hashim berkata kesemua 35 pelajar mengalami cedera ringan dan 30 daripadanya dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) manakala lima yang lain dihantar ke Hospital Ampang.

Katanya hanya mangsa yang stabil dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan beliau menjangkakan proses pemeriksaan ke atas semua mangsa kemalangan selesai selewat-lewatnya pagi esok (hari ini).

Amir berkata pemandu bas tersebut dipercayai melarikan diri dan punca kejadian masih disiasat. BERNAMA

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan