suria

Wanita Thai maut dalam kebakaran suami ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Thailand ditemui mati di atas katil dalam keadaan sebahagian tubuhnya melecur akibat terperangkap di kamar tidur sewaktu rumah dua tingkatnya di Jalan Hijau, Green Valley, Batu Arang dekat Rawang terlibat dalam kebakaran awal pagi ini.

Amira Watana Abdullah, 38, mati di tempat kejadian kerana gagal menyelamatkan diri dalam insiden pukul 2 pagi di mana kebakaran itu telah mengakibatkan sebahagian daripada rumah itu terutama di bahagian atas hangus.

Suami mangsa bagaimanapun terselamat dalam kejadian itu setelah sempat menyorok di dalam tandas yang tidak terbakar dalam insiden itu.

Satu jentera bersama lapan anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang tiba di tempat kejadian pada 2.20 pagi dan mengawal kebakaran sepenuhnya kira-kira 5 pagi.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata polis bagaimanapun terpaksa menahan suami mangsa, seorang warga tempatan berusia 42 tahun, untuk membantu siasatan kerana timbul keraguan terhadap insiden itu.

"Siasatan rapi tetap dijalankan dan adalah masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian serta kesimpulan berhubung punca sebenar kejadian tersebut," katanya.

Abdul Rahim berkata, lelaki itu menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sungai Buloh akibat kecederaan ringan yang dialami dalam insiden itu.

Mayat Amira Watana juga dibedah siasat di hospital yang sama. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain