PETALING JAYA: Selangor dan Kelantan mara ke perlawanan akhir Piala FA edisi ke-20 setelah menewaskan lawan masing-masing pada perlawanan separuh akhir pusingan kedua malam tadi.Perlawanan akhir antara Selangor dan Kelantan akan berlangsung Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. Aksi di Stadium Shah Alam menyaksikan Selangor berjaya menafikan peluang Perlis ke perlawanan akhir apabila mencatatkan kemenangan 2-1 untuk mara dengan agregat 3-2.Selangor yang turun selaku naib juara Piala FA musim lepas berpeluang membuka jaringan seawal minit ketujuh permainan.Namun Mohd Safee Sali yang tidak dikawal gagal menyudahkan hantaran bola lambung daripada Rudie Ramli.Ketua pasukan Selangor, Mohd Amri Yahyah bagaimanapun mengamatkan stadium dengan sorakan hampir 25,000 peminat apabila membuka jaringan melalui tandukan yang berpunca dari hantaran Rudie pada minit ke-15 untuk menewaskan penjaga gol Perlis, Mohd Farizal Marlias.Namun kegembiraan tuan rumah hanya bertahan dua minit apabila pemain tengah Perlis, Azi Shahril Azmi meledak gol penyamaan menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti menewaskan Mohd Hamsani Ahmad untuk memberi kedudukan seri 1-1 di separuh masa.Amri yang juga dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan malam ini sekali lagi meledak gol apabila menanduk masuk sepakan penjuru D. Surendran pada minit ke-90 untuk memberi keputusan 2-1 yang berpihak kepada Selangor.Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, menyaksikan Kelantan layak ke perlawanan akhir dengan peraturan gol ditempat lawan apabila menang 2-1 ke atas Negeri Sembilan.Keputusan itu membolehkan skuad Wira Merah mengikat kedudukan agregat 2-2 setelah tewas 0-1 pada pusingan pertama 7 April lepas.Pada aksi malam tadi, anak-anak buah Wan Jamak Wan Hassan membuat kejutan awal bagi tuan rumah apabila Mohd Asyraf Al-Japri menyudahkan hantaran Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak pada minit ke-5 perlawanan untuk kedudukan 1-0 di separuh masa.Bersambung babak kedua, Kelantan akhirnya menyamakan kedudukan apabila Mohd Norfarhan Mohammad meledak dengan gol penyamaan pada minit ke-48 untuk menceriakan kira-kira 10,000 penyokong Kelantan.Gol itu nyata membangkitkan semangat skuad bimbingan Peter James Butler apabila Indra Putra Mahayuddin meledak dengan gol kedua pada minit ke-52 sekali gus membolehkan Kelantan mara ke perlawanan akhir.