suria

Anggota tentera terbunuh dalam latihan payung terjun

KANGAR: Seorang anggota tentera terbunuh manakala dua lagi cedera dalam siri latihan payung terjun di kawasan Felda Chuping, Padang Besar dekat sini hari ini.

Anggota yang terbunuh dikenali sebagai Zamri Yusof, 26, dari Pasir Mas, Kelantan manakala salah seorang yang cedera dikenali sebagai Mohd Jais Mohd Yusof, 38.

Mohd Jais sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Menurut Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supt Che Man Md Dros, kejadian berlaku pada pukul 10.45 pagi ketika anggotaanggota dari 10 Briged Para, Kem Terendak, Melaka sedang mengadakan latihan payung terjun di kawasan ladang tebu.

Kejadian dipercayai berpunca daripada tiupan angin kencang sehingga menyebabkan para anggota terbabit gagal mengawal payung terjun mereka dengan baik pada paras 300 meter dari tanah, menyebabkan Zamri tersasar ke dalam sebuah kolam dan lemas.

Panglima 10 Briged Para, Brig Jen Datuk Mohd Dalib Basir turut berada di bilik mayat HTF.

Jenazah Zamri telah dibawa ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah sebelum diterbangkan ke Kelantan. Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu turut menziarahi mangsa yang cedera di HTF. BERNAMA

Artikel Lain