suria

2 ahli muzik rancang terokai keindahan KL-Melaka

MISI... Dya Singh (kiri) yang kini menetap di Melbourne, Australia bersama Vic Briggs (kini Vikram Singh) bekas anggota kumpulan pop pada 60-an 'The Animals" - akan berjalan dari Kuala Lumpur ke Melaka mulai 15 Mei ini untuk mempromosikan "the great outdoors of Malaysia". --fotoBERNAMA
MISI...  Dya Singh (kiri) yang kini menetap di Melbourne, Australia bersama Vic Briggs (kini Vikram Singh) bekas anggota kumpulan pop pada 60-an 'The Animals
MISI... Dya Singh (kiri) yang kini menetap di Melbourne, Australia bersama Vic Briggs (kini Vikram Singh) bekas anggota kumpulan pop pada 60-an 'The Animals" - akan berjalan dari Kuala Lumpur ke Melaka mulai 15 Mei ini untuk mempromosikan "the great outdoors of Malaysia". --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Dya Singh, seorang ahli muzik berbangsa Sikh yang kini menetap di Melbourne, Australia dan Vic Briggs (kini Vikram Singh), bekas anggota kumpulan pop pada 60-an "The Animals", akan berjalan dari Kuala Lumpur ke Melaka mulai 15 Mei ini untuk mempromosikan "the great outdoors of Malaysia".

Kedua-dua pemuzik itu, kini berusia dalam lingkungan 60-an, berharap orang ramai akan menyertai mereka untuk berjalan dan bukan hanya tinggal dalam kebanyakan masa di pejabat, tempat membeli-belah dan kenderaan yang berhawa dingin.

"Berjalan adalah baik untuk kesihatan, terutamanya jika umur kian meningkat.

"Ia adalah juga cara yang baik untuk mengenali alam semula jadi dan jiwa seseorang," kata Dya, bekas pelajar Victoria Institution di sini dari 1963 hingga 1969.

Dya, yang dilahirkan di Raub, Pahang dan dibesarkan di Taiping, Perak, pernah berkhidmat sebagai kadet wartawan dengan ketika itu The Straits Times di sini sebelum ke Britain untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan dalam tahun 70-an.

Setelah berkhidmat sebagai seorang akauntan di sana, beliau berhijrah ke Australia pada 1981.

BAKAT

Dari sinilah bakat beliau dalam muzik menyerlah dan kian dikenali kerana muzik kerohanian Sikh.

Dya, yang bermakna belas kasihan, pernah berjalan dari Ipoh, Perak ke Kuala Lumpur dua tahun lepas dan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur tahun lepas.

Dalam temu bual melalui emel, beliau berkata jalan dari Pulau Pinang ke Ipoh tahun lepas menjadikan "salah satu minggu yang terbaik dalam hidup saya" kerana ada langit biru, jalan tidak sesak di jalan utama serta berjumpa penduduk kampung yang ramah dan tentunya, nasi lemak, laksa, mi goring, cendol, air kelapa, jus tebu, durian dan buah-buahan lain."

Beliau merasakan bahawa tarikan semula jadi Malaysia yang paling dihargai ketika berjalan kaki dan ramai lagi rakyat Malaysia hendaklah mengetahui bahawa mereka memiliki sebuah negara yang indah.

"Dalam karier muzik saya setakat ini, saya telah mengembara ke banyak negara Bagi saya, tidak ada yang boleh dibandingkan dengan Malaysia dan saya belum melihatnya semua.

"Jika saya boleh menghabiskan sisa-sisa hidup saya hanya dengan melihat dan menikmati Malaysia, saya anggap diri saya sangat bernasib baik," tambah beliau.

PERSEMBAHAN

Mengenai Vikram daripada kumpulan The Animals, Dya berkata, ahli muzik dari Britain itu sebenarnya di Kuala Lumpur pada perayaan Vesakhi baru-baru ini dan malahan mengadakan persembahan di hadapan Datuk Seri Najib Tun Razak apabila Perdana Menteri melawat Gurdwara Tatt Khalsa Diwan Selangor atau kuil di Jalan Chow Kit.

Ahli muzik Britain itu, yang bermain bersama-sama Jimi Hendrix dan Dusty Springfield, memeluk agama Sikh pada 1970 setelah meninggalkan The Animals (yang terkenal dengan lagu "House of Rising Sun") pada 1968.

Beliau kini tinggal di Hawaii, menerbitkan muzik, termasuk muzik rohaniah Sikh.

Dya berkata, beliau pertama kali mengenali Vikram pada 2000 di sebuah kuil Sikh di Phoenix, Arizona, Amerika Syarikat berkata mereka merancang satu siri konsert rohaniah Sikh pada Oktober 2001.

"Kemudian kejadian 9/11 (cadangan kerjasama ini tidak dapat diadakan). Beberapa bulan lepas, beliau menghubungi saya dan memberitahu saya bahawa beliau melalui Malaysia. Itulah semasa perayaan Vesakhi barubaru ini.

"Vikram sangat terharu dengan sambutan daripada masyarakat Sikh, kemesraan dan keindahan Malaysia itulah beliau meminta untuk menyertai saya dalam perjalanan ini.

"Beliau meminati kegiatan kecergasan dan yoga kebelakangan ini."

RAKAN KONGSI

Dya berkata, "rakan kongsi" dalam perjalanan mereka mungkin membawanya untuk bekerjasama dalam sesetengah muzik pada masa akan datang yang mereka harap pada 2001.

Mengenai perjalanan akan datang, Dya berkata, berharap untuk menamatkan perjalanannya sempena dengan Festival Sikh di Melaka, ulang tahun anggota kuil Sikh yang paling suci, Sant Baba Sohan Singh Ji, yang diraikan setiap hujung minggu ketiga Mei.

"Kita lalui laluan lama hanya kerana ia sangat indah dan kurang kenderaan. Kita akan lalui Cheras, Kajang di Selangor, Mantin, Seremban, Rembau, Tampin di Negeri Sembilan dan Melaka. Kecuali Rembau, semua bandar lain yang dilalui ada kuil Sikh," kata beliau.

"Saya tidak inginkan untuk 'mencapai' apa-apa, saya hanya berterima kasih kaki saya masih boleh bawa saya berjalan dan saya boleh menghargai negara kelahiran saya.

"Kehidupan adalah satu perjalanan dan dengan itu laluan ke arah satu pencapaian adalah lebih penting daripada pencapaian tersebut. Tidak kira apa yang saya capai dan tidak ada yang diharapkan."

Tetapi Dya berkata, adalah satu bonus kepadanya jika beliau boleh mendapatkan lebih ramai rakyat Malaysia yang mengetahui bahawa mereka mempunyai sebuah negara yang indah dan ramai daripadanya mempunyai tabiat yang lebih berminat untuk bersenam dan meluangkan lebih masa untuk beriadah di luar rumah.

Ditanya siapa yang akan membantunya menganjurkan perjalanan mereka, Dya Singh berkata, ini termasuk kawan semasa kecil dan penerbit cakera padatnya, Menjit Singh dari Kampung Pandan di sini, dan Gina Dhaliwal daripada Sikh Women's Advance Network (SWAN). BERNAMA

Artikel Lain