PETALING JAYA: Setiausaha Kerja Umno yang baru, Datuk Abd. Rauf Yusoh menekankan bahawa Umno perlu kembali menghayati perjuangan asal bagi mengembalikan sokongan rakyat terhadap parti itu.Umno sebagai sebuah parti yang memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat, jelas beliau, harus berada di landasan perjuangan yang sebenar jika ingin memastikan parti itu terus kekal relevan. "Kita kena balik kepada rakyat, kita perlu tahu apa yang diinginkan oleh rakyat," katanya ketika dihubungi mStar Online.Abd. Rauf dilantik sebagai Setiausaha Kerja Umno menggantikan Brigedier Jeneral (B) Datuk Husainay Hashim berkuat kuasa Isnin lalu.Beliau berkata, tanggungjawab yang dipikul sekarang ini cukup mencabar terutama selepas tsunami politik yang melanda negara pada pilihan raya umum Mac 2008."Tugas baru ini merupakan satu cabaran yang besar terutama dalam situasi politik semasa."Tanggungjawab yang diberikan oleh parti kepada saya adalah cukup besar, namun saya berazam untuk lakukan yang terbaik."Saya akan sedaya upaya pikul tanggungjawab untuk pastikan Umno mencapai kejayaan pada pilihan raya umum ke-13 nanti," katanya.Dalam pada itu, ditanya mengenai mesyuarat Biro Politik Umno yang dijangka akan bermesyuarat pada Isnin ini bagi memutuskan sama ada parti itu akan bertanding pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, beliau berkata, sehingga kini tarikh mesyuarat itu masih kekal."Insya-Allah ikut jadual mesyuarat itu pada Isnin ini untuk menentukan kedudukan Umno pada pilihan raya kecil itu nanti," katanya merupakan bekas Penolong Setiausaha Pemuda Umno.