KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot pukat tunda nelayan asing bersama 18 orang nelayan Vietnam termasuk dua tekong kerana melakukan kegiatan penangkapan ikan secara haram di perairan negara pagi semalam.Ketua Penguatkusa Daerah Maritim Kuala Terengganu, Komander Maritim Syed Mohd Fuzi Syed Hasan berkata keduadua kapal berkenaan ditahan oleh KM Segantang yang diketuai Pegawai Memerintah Leftenan Maritim Mohd Khairul Anuar Abdul Majid dengan 20 anggota yang ketika itu sedang melakukan rondaan di sekitar perairan Kuala Terengganu. Bot nelayan Vietnam pertama ditahan kirakira 16 batu nautika Timur Laut dari Kuala Terengganu kirakira pukul 8.48 pagi berhampiran dengan kawasan pelantar minyak RDP A.Tidak sampai tiga jam selepas itu, KM Segantang yang meneruskan tugas rondaan telah terserempak dengan sebuah lagi bot pukat tunda nelayan asing yang ketika itu sedang menangkap ikan kirakira 53 batu nautika Timur Laut Kuala Terengganu iaitu berhampiran Pelantar Minyak Dulang D."Apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot tersebut cuba melarikan diri tetapi dengan ketangkasan anggota APMM, bot tersebut berjaya ditahan," katanya kepada pemberita di pejabat APMM di Pulau Kambing di sini hari ini.Beliau berkata, hasil penahanan keduadua bot nelayan itu, APMM berjaya menahan 18 nelayan warga Vietnam berumur antara 16 hingga 53 tahun termasuk lima daripadanya merupakan bawah umur, yang kesemuanya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.Mereka ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM1 juta untuk tekong manakala awakawak pula dikenakan denda sebanyak RM100,000 setiap seorang.Katanya, APMM turut merampas 500 kilogram hasil tangkapan laut dan kesemua bot itu kemudian diiring ke Jeti APMM Pulau Kambing untuk siasatan lanjut.Syed Mohd Fuzi berkata, dengan kejayaan tangkapan terbaru itu, menjadikan sehingga kini sembilan buah bot nelayan Vietnam ditahan sejak awal tahun ini dengan 83 orang tangkapan termasuk tekong.Dalam masa yang sama, lima bot nelayan Thailand turut ditahan bersama-sama 38 awak-awak dan tekong.Beliau berkata musim sotong antara April hingga Ogos menyebabkan banyak bot nelayan asing bertindak berani menceroboh perairan Terengganu untuk mengaut hasil laut negara itu. BERNAMA