suria

5 ditembak, polis berjaya tumpas Geng Ipol

KUALA LUMPUR: Polis menembak mati lima rakyat Indonesia, dikenali sebagai anggota Geng Ipol yang dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian samun di Perak dan Selangor di hutan simpan Kampung Bahagia Bukit Lagong, Sungai Buloh, dekat sini. Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, dalam kejadian pada 6.15 petang tadi, kejadian tembak-menembak berlaku setelah suspek enggan mematuhi arahan polis supaya menyerah diri, sebaliknya cuba menyerang polis menggunakan parang dan sepucuk pistol.

"Keadaan yang terancam menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan kepada semua suspek. Polis berjaya merampas empat bilah parang dan sepucuk revolver.22," kata beliau kepada pemberita di lokasi kejadian.

Khalid berkata kelima-lima suspek itu berumur antara 25 dan 40 tahun dan terlibat dalam kes samun di sekitar Setiawan di Perak, Gombak, Kajang dan Kuala Selangor di Selangor.

"Dengan tertembaknya kelima-lima suspek ini, polis berjaya menumpaskan sepenuhnya geng Ipol.

"Ipol adalah nama ketua kumpulan itu yang berumur dalam 30an. Dengan tertumpasnya geng ini, polis berjaya menyelesaikan 20 kes melibatkan geng tersebut," katanya.

Khalid berkata, kumpulan itu dikesan bergerak aktif sejak enam bulan lalu dan daripada pemeriksaan yang dijalankan, dua daripada anggota kumpulan itu memiliki dokumen perjalanan yang sah sementara tiga yang lain tiada sebarang dokumen perjalanan ditemui.

Samun terakhir yang dilakukan oleh kumpulan itu ialah di rumah seorang kenamaan di Taman Tasik Kesuma, Semenyih, Selangor semalam.

Kesemua barangan yang disamun dipercayai telah dijual, katanya.

Beliau berkata modus operandi suspek ialah melakukan samun pada awal pagi dengan cara mengikat dan menutup mulut mangsa menggunakan kain sebelum mengambil barangan berharga seperti barang kemas, duit dan makanan.

Berdasarkan siasatan, geng berkenaan didapati tidak menggunakan sebarang kenderaan untuk menjalankan kegiatan samun, sebaliknya dipercayai hanya menggunakan pengangkutan awam termasuk komuter, tambah beliau.

Mayat kelima-lima suspek itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Khalid berkata polis juga tidak menolak kemungkinan kelimalima yang ditembak mati itu turut dikehendaki oleh Polis Indonesia dan pihaknya kini masih menjalankan siasatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain