suria

DJ jadikan kelab malam tempat edar dadah ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang DJ kelab malam yang menjadikan kelab malam sekitar bandaraya sebagai tempat untuk mengedar dadah ditahan polis ketika sedang khayal menghisap dadah di rumahnya di Jalan Gelugor di sini Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Kang Chez Chiang berkata pihak polis menyerbu rumah lelaki berusia 24 tahun itu pada pukul 9 malam dan hasil pemeriksaan sejumlah 700 biji pil Eramin 5 dan 237.4 gram dadah Ketamin ditemui.

"Kesemua dadah itu yang dianggarkan bernilai RM12,400 ditemui di dalam bilik suspek yang disorokkan di dalam kotak tisu," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Kang berkata modus operandi suspek ialah membeli dadah itu secara borong dan menjual dadah itu, yang dibungkus dalam paket kecil, kepada para pelanggan yang dikenalinya sahaja.

Beliau berkata suspek seorang warga tempatan dipercayai bergiat aktif hampir setahun lalu dan menjalankan kegiatan itu bersama teman serumahnya yang berumur dalam lingkungan 20an.

"Kita sedang mengesan rakan serumah suspek. Urusniaga jual beli dadah ini dijalankan di luar kelab malam dan ada juga pelanggan datang ke rumah suspek," katanya.

Beliau berkata polis sedang menyiasat punca bekalan dadah itu dan kelab malam yang dijadikan tempat pengedaran .

Kang berkata suspek kini ditahan reman selama seminggu sejak Sabtu lepas. BERNAMA

Artikel Lain