IPOH: Seorang rakyat Myanmar maut apabila tertimbus dalam runtuhan tanah ketika memasang saluran paip di tapak projek kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Hulu, 280 km dari sini, semalam. Jurucakap polis berkata mayat Sla Waun, 24, itu ditemui dalam keadaan tertiarap pada pukul 7 petang semalam dan dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.Beliau berkata kejadian berlaku pada pukul 6.30 petang ketika lelaki itu sedang memasang saluran paip ke pembetungan najis dalam lubang sedalam lima meter di tapak projek Kem PGA. Dua rakannya yang berada di tempat kejadian cuba membantu tetapi gagal lalu memberitahu kepada majikannya sebelum melaporkannya kepada polis, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.Beliau berkata polis dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat menjalankan operasi mencari dengan mengunakan jentera pengorek tanah. BERNAMA