KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki berumur tiga bulan yang tidak sedarkan diri sejak seminggu yang lalu ketika dijaga pengasuhnya, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi ini.Mohamad Irfan Iskandar Dzulkarnain yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) kerana mengalami kecederaan di kepala, disahkan meninggal dunia pada pukul 9 pagi. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Abdul Jalil Hassan, ketika dihubungi mengesahkan kematian bayi itu dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut."Siasatan akan dibuat berdasarkan laporan bedah siasat yang dikeluarkan oleh hospital."Tindakan untuk menahan atau tidak pengasuhnya akan dilakukan sejurus menerima laporan terbabit," katanya.Dalam kejadian 1 Jun lepas di Pangsapuri Sri Nilam, Ampang, ibu bayi berkenaan menerima panggilan kira-kira pukul 12.30 tengah hari daripada pengasuh terbabit yang mengatakan anaknya tidak sedarkan diri tanpa diketahui punca sebenar.Ibu bayi itu kemudian menghubungi suaminya sebelum mereka berdua bergegas pulang dan mendapatkan bayi mereka yang ditinggalkan di rumah pengasuh berkenaan.Sangsi dengan kejadian itu, bapa bayi turut bertindak membuat laporan polis pada hari yang sama (1 Jun) kerana mendakwa kejadian itu mungkin berpunca daripada kecuaian pengasuh terbabit. BERNAMA