KOTA KINABALU: Terdapat 16,340 kekosongan jawatan di Sabah yang majoritinya datang daripada sektor perladangan dan perkhidmatan, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Senator Datuk Maznah Mazlan.Beliau berkata berdasarkan statistik Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah, daripada jumlah itu, 4,034 jawatan ditawarkan oleh 59 majikan di bawah Program Penempatan Pekerjaan di Sabah (3P) bagi tempoh bulan Febuari hingga Mei lepas. "Jawatan-jawatan di bawah 3P ini dipromosi melalui pendaftaran secara terbuka di lokasilokasi yang menjadi tumpuan awam," katanya kepada wartawan selepas lawatan kerjanya di sini hari ini.Dalam pada itu, 792 pencari kerja berjaya ditempatkan di beberapa syarikat di bawah program tersebut sepanjang tempoh Febuari hingga Mei lepas iaitu 692 orang bukan siswazah, 95 orang siswazah dan lima pekerja yang diberhentikan.Maznah berkata program 3P yang dijalankan itu merangkumi pembukaan kaunter pertanyaan, penjodohan kerja dan penglibatan majikan secara langsung dalam memberikan maklumat kepada masyarakat berkaitan jawatan yang ditawarkan.Dalam perkembangan berkaitan, Maznah berkata JTK Sabah akan meningkatkan aktiviti pemantauan dan pemeriksaan terhadap ejenejen pencari kerja yang beroperasi di negeri ini, agar masyarakat tidak terpedaya dengan janji tawaran gaji lumayan bagi menarik minat mereka untuk bekerja di Singapura."JTK Sabah sedang berusaha mengadakan kempen kesedaran di kalangan pencari kerja supaya aktiviti penipuan oleh ejen ini dapat dikawal."Selain itu, JTK turut mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua masyarakat di peringkat daerah, mengadakan penyebaran maklumat mengenai kegiatan ejen pencari kerja yang tidak bertanggungjawab melalui media cetak dan elektonik serta mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi pekerjaan swasta yang didapati melanggar Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1982," katanya.Beliau berkata setakat ini, Sabah mempunyai 120 ejen pekerjaan yang berdaftar tetapi hanya sebuah sahaja yang dibenarkan membawa pekerja ke luar negara. BERNAMA