KLANG: Seorang bekas kontraktor disyaki menikam isterinya bertubi-tubi sehingga mati dan mencederakan dua anak perempuannya sebelum melarikan tiga lagi anaknya dalam kejadian di Taman Seri Andalas di sini pagi semalam.Ketua Polis Daerah Klang ACP Mohamad Mat Yusop berkata kejadian berlaku pada 9 pagi, apabila suspek yang berumur 54 tahun dan dipercayai mengalami gangguan mental, mengamuk akibat perselisihan faham dengan isterinya yang berusia 47 tahun itu. "Pergaduhan itu berlarutan ke lorong belakang rumah apabila mangsa melarikan diri dengan baju berlumuran darah sambil dikejar suspek yang membawa pisau. Pada masa yang sama, dua anak perempuan mangsa berusia 14 dan 23 tahun dengan pakaian berlumuran darah kerana cedera dipercayai dilibas dengan pisau dilihat cuba menghalang bapa mereka daripada terus menyerang mangsa," katanya kepada pemberita di sini semalam.Mohamad berkata mayat wanita itu ditemui terbaring 20 meter dari pintu belakang rumahnya dengan kesan tikaman dan tetakan pada leher, perut, dada, belakang badan serta tangan.Beliau berkata polis menahan suspek kirakira 3.55 petang tadi di Jalan Sungai Jati, Taman Sentosa di sini ketika sedang memandu kenderaannya dipercayai sebaik menghantar tiga anaknya berusia 10, 11 dan 13 tahun di rumah seorang rakannya di kawasan perumahan berhampiran."Kita tengah siasat motif pembunuhan kerana berdasarkan maklumat daripada penduduk sekitar, pasangan suami isteri itu kerap bergaduh dan tidak suka bercampur dengan jiran," kata Mohamad.Pasangan itu mempunyai sembilan anak berumur antara 10 dan 23 tahun.Mohamad berkata seorang lagi wanita yang juga isteri suspek meninggal dunia lapan tahun lepas, dipercayai menggantung diri kerana masalah keluarga.Seorang jiran, Nurfateha Abdul Hamid, 19, ketika ditemui di tempat kejadian berkata beliau terkejut apabila terdengar jeritan dan melihat kelibat seorang lelaki mengejar seorang wanita dengan pisau disusuli dua lagi wanita di belakangnya."Bila saya tengok luar tingkap dapur rumah saya, saya ternampak lelaki yang merupakan jiran saya heret isterinya melalui lorong belakang rumah saya sambil dua anak perempuannya yang dibasahi darah menangis dan bercakap dalam bahasa Tamil."Kemudian saya lihat lelaki itu menikam leher isterinya lebih tiga kali dengan pisau panjang sebelum dia masuk ke dalam rumah dan membawa lari tiga lagi anaknya," katanya.Nurfateha, seorang pelajar kolej, berkata beliau dan tiga adiknya hanya mampu memerhatikan kejadian itu dari tingkap rumah mereka dan keluar sebaik sahaja lelaki itu melarikan diri."Saya pergi lihat keadaan wanita itu dan nampak tiga lubang di lehernya selain baju dan seluarnya berlumuran darah sementara dua anaknya hanya menangis dan memberitahu saya ibunya sudah mati," katanya. BERNAMA