KUALA KRAI: Umno memerlukan sekurang-kurangnya 6,000 daripada 12,292 undi bagi menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, pada 14 Julai depan.Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, berkata sasaran itu tidak mustahil dicapai sekiranya semua pihak terutama jentera pilihan raya bekerja kuat menarik sokongan termasuk mereka yang berada "atas pagar" mulai esok. "Kita akan melancarkan gelombang biru bagi menarik sokongan dengan keazaman sanggup bekerja kuat siang dan malam bagi merealisasikan hasrat itu," katanya ketika berucap kepada anggota jentera pilihan raya peti undi Pria di sini, hari ini.Turut hadir Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman.Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai hari penamaan calon dan jika ada pertandingan, hari pengundian pada 14 Julai.Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada Pas, Ismail Yaacob, akibat sakit jantung pada 22 Mei lalu.Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, Umno perlu bekerja lebih keras untuk memenangi kesemua sembilan peti undi dalam DUN berkenaan.Katanya, Umno bercadang menjadikan Manek Urai sebagai kawasan anak angkat yang akan diberi keutamaan dalam pelaksanaan projek pembangunan akan datang jika diberi mandat pada pilihan raya itu.Beliau berkata, ini penting untuk menebus maruah Umno dan BN yang kalah pada beberapa pilihan raya kecil yang lalu termasuk terbaru di Parlimen Bukit Gantang, Perak dan DUN Bukit Selambau, Kedah kecuali di DUN Batang Air, di Sarawak.Beliau berkata kemenangan itu juga penting sebagai permulaan dan semangat dalam usaha BN memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum ke-13 di Kelantan dan sekali gus merampas balik tampuk pemerintahan negeri itu daripada Pas.Ketika berucap, Mustapa berkata, calon BN yang bertanding di kawasan itu akan diumumkan beberapa hari sebelum penamaan calon. BERNAMA