KUALA LUMPUR: Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra, yang mengalami masalah jantung, masih dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura."Sama-samalah kita berdoa semoga Tuanku Sultan Kelantan cepat sembuh dan kembali ke Negeri Kelantan," kata Pegawai Tadbir (Pentadbiran) Pejabat Sultan Kelantan, Nik Mahmud Nik Jaafar, dalam kenyataan media bagi pihak Datuk Penglola Istana Diraja Kelantan Isnin. Sultan Kelantan, yang mula mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian pada 14 Mei, dimasukkan ke Hospital Mount Elizabeth pada 24 Mei.Mengenai isu perkahwinan Tengku Temenggung Kelantan dan Cik Puan Manohara Odelia Pinot dan laporan polis yang dibuat pada 11 Jun lepas, Nik Mahmud berkata memandangkan ia adalah isu peribadi, perkara itu tidak patut dan tidak boleh dikaitkan dengan Sultan Kelantan atau Pejabat Sultan Kelantan.Katanya Pemangku Raja Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra atau Pejabat Sultan Kelantan tidak pernah melantik mana-mana orang menjadi jurucakap di mana-mana media."Diharapkan semua pihak tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan suasana atau membantut penyiasatan supaya isu berkenaan dapat diselesaikan melalui proses undang-undang dengan adil dan saksama," kata Nik Mahmud. BERNAMA