suria

UPP patahkan cubaan seludup 10,000 kg beras

PENGKALAN KUBOR: Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) merampas 10,000 kilogram beras seludup yang disembunyikan di sebuah bangsal lama di kampung Kubang Bemban, Pasir Mas, Khamis lepas.

Komander UPP Kelantan Mazlan Che Hamid berkata beras yang dianggar bernilai RM30,000 itu dirampas dalam bangsal berkenaan kira-kira pukul 6 petang selepas pihaknya membuat risikan dan mendapat maklumat awam.

Beliau berkata beras itu dipercayai dibawa masuk menggunakan kenderaan kecil dari pangkalan haram Kubang Pak Itam di Pasir Mas sebelum dikumpulkan di bangsal berkenaan sebagai transit.

"Kami percaya semua beras yang menggunakan cop Bernas itu kemudian akan dibawa keluar menggunakan kenderaan berat untuk dipasarkan di luar Kelantan," katanya di sini hari ini.

Menurutnya ia merupakan rampasan terbesar bagi UPP sepanjang tempoh enam bulan tahun ini, dan beras-beras itu akan diserahkan kepada jabatan Kastam untuk tindakan lanjut.

Sementara itu Mazlan berkata pihaknya mula meningkatkan pemantauan bagi penyeludupan mercun memandangkan sambutan Aidilfitri kini semakin hampir. BERNAMA

Artikel Lain