SIBU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 32 tahun ke atas seorang bekas pekerja kem balak berusia 24 tahun serta 18 sebatan kerana mencekik hingga mati, merogol dan merompak seorang guru muda dekat Kapit dua tahun lepas.Hakim Rhodzariah Bujang menjatuhkan hukuman 20 tahun penjara ke atas Jerman anak Binal selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan ganti pertama menyebabkan kematian di bawah seksyen 304 Kanun keseksaan dengan mencekik hingga mati Anizah Othman, 26, pada 5 Mei, 2007 antara 4.30 petang dan 5.30 ptg di Sungai Sagang dekat Kapit. Jermah juga mengaku bersalah terhadap dua tuduhan merogol guru itu di tempat yang sama antara 4.45 ptg dan 5 ptg dan kemudian antara 5 ptg hingga 5.15 ptg. Bagi dua tuduhan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan, hakim menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap satu yang dilaksana berasingan. Jerman juga dikenakan lapan sebatan bagi setiap satu dari dua tuduhan itu.Dia juga mengaku bersalah terhadap tuduhan keempat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak mangsa wang tunai RM58 dan telefon bimbitnya.Untuk ini, Puan Rhodzariah menjatuhkan hukuman dua tahun penjara lagi serta dua sebatan. Hukuman penjara ini berkuatkuasa pada tarikh ia ditangkap pada 12 Mei 2007. Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Fazillah Begum Abdul Ghani memberitahu mahkamah bahawa mangsa adalah seorang guru di SJK (C) Hin Hua di bandar Song, kirakira sejam perjalanan dengan bot dari Kapit. Berasal dari Johor, beliau ditugaskan ke sekolah itu pada Februari, 2007.Pada 5 Mei, beliau menaiki bot ekspres 2 ptg, dengan niat ke Kapit untuk menziarahi rakannya dan juga mengeluarkan wang.Tetapi beliau menaiki bot yang salah yang hanya pergi ke Nanga Yong. Jerman yang menaiki bot yang sama menawarkan untuk menghantar beliau ke Kapit. Setiba di sebuah rumah panjang Rh.Undi, Jerman meminjam sebuah bot panjang dari seorang lelaki dikenali sebagai Christopher Kelly dan dia memperkenalkan mangsa sebagai isteri barunya kepada beberapa orang penghuni rumah panjang itu. Pada kira-kira 4 ptg dua orang itu memulakan perjalanan. Sebaik tiba di Sungai Sagang, cabang Sungai Rajang, Jerman menghalakan bot ke situ walaupun mangsa menangis dan membantah.Jerman kemudian menghentikan enjin sangkut dan memberitahu mangsa ia mahu merogolnya. Dia memukul tengkok mangsa dengan dayung. Mangsa jatuh, dia mengangkat badan mangsa dan mencampakkannya ke sungai. Dia kemudian terjun dan mencekiknya dengan niat untuk melemaskannya.Bila mangsa tidak bergerak, ia menariknya ke dalam bot, membuka seluarnya dan merogolnya sebanyak dua kali. Kemudian dia mencampakkan semula mangsa ke sungai dan terjun untuk mencekiknya dan menenggelamkannya.Selepas lima minit, bila Jerman mendapati Anizah tidak bernyawa, dia membiarkan mayat terapung.Dia kemudian mengambil wang tunai RM58 dari dompet mangsa dan telefon bimbitnya yang dia gadaikan kepada Christopher sebanyak RM200.00 bila ia kembali ke rumah panjang itu pada 5.45 ptg.Bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan polis dari Kapit menemui mayat Anizah pada 8 Mei pada kira-kira 9.30 pagi di Sungai Sagang.Guru besar mangsa juga membuat laporan orang hilang di Balai Polis Song pada hari yang sama.Berdasarkan siasatan polis dan kenyataan saksi, Jerman ditangkap pada 12 Mei, 2007 di kem balak di Nanga Lajan dekat Song dan dibawa ke penjara Sibu dimana dia ditahan sejak itu.Dr. A Savior Selva Suresh yang menjalankan post mortem ke atas mayat Anizah pada 23 Mei menyimpulkan bahawa "tiada pendapat pasti dapat diberikan berhubung sebab kematian, oleh kerana mayat berada dalam keadaan reput. Namun siasatan di tengkuk menunjukkan kesan dicekik".Ketika memohon hukuman berat dikenakan, Fazillah Begum berkata Jerman telah melakukan "jenayah yang hina dan kejam ke atas mangsa yang tidak bersalah dan telah dipindahkan ke negeri ini baru hanya empat bulan untuk menjalankan tugas penting untuk negara"."Beliau sanggup berpisah dari keluarga tetapi akhirnya, keluarganya hanya menerima kembali mayatnya," kata beliau. BERNAMA