KUALA LUMPUR: Sejumlah 200,000 dos vaksin influenza dibekalkan kepada semua negeri sejak awal Mei lepas untuk disuntik kepada petugas barisan hadapan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.Liow berkata dianggarkan 200,000 petugas barisan hadapan akan terlibat dalam menangani wabak pandemik influenza seperti yang terkandung dalam pelan kebangsaan "National Influenza Preparedness Pandemic Plan 2006". Petugas barisan hadapan itu terdiri daripada penjawat awam di bawah kategori anggota kesihatan dan perubatan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Imigresen, katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.Menjawab soalan Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam), Liow berkata setiap tahun bermula 2007, petugas barisan hadapan telah diberi pelalian vaksin "seasonal flu" (selesema bermusim) yang mengandungi komponen dari virus influenza A (H3N2), influenza A (H1N1) dan influenza B."Jenis virus ini ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang memantau jenis virus di persekitaran. Seterusnya WHO akan menyarankan jenis virus yang perlu dimasukkan ke dalam vaksin seasonal flu ini," katanya.Liow berkata vaksin influenza "seasonal flu" itu hanya berkesan ke atas virus influenza sedia ada yang terdapat di persekitaran dan ia tidak berkesan untuk melindungi individu dari jangkitan virus influenza A (H1N1) baru yang menyebabkan wabak di seluruh dunia sekarang ini."Ini kerana virus itu merupakan "strain" baru dari virus influenza yang biasa. Walaubagaimanapun, pelalian akan mengurangkan risiko individu daripada menjadi tempat virus influenza bermutasi atau dikenali sebagai reassortment," katanya.Beliau berkata proses itu boleh menyebabkan virus influenza menjadi strain yang baru yang lebih bahaya dengan kesan jangkitan dan kematian yang berbeza.Liow berkata vaksin bagi influenza A (H1N1) masih belum dapat dihasilkan lagi dan pada masa ini WHO bersamasama dengan syarikat utama pembuat vaksin dunia sedang giat berusaha untuk menghasilkan vaksin itu sebagai pencegahan kepada wabak berkenaan."Virus influenza A (H1N1) merupakan satu virus baru dan sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh pihak WHO, masa yang diperlukan untuk menghasilkan vaksin yang dimaksudkan ialah di antara tiga hingga enam bulan."Vaksin influenza A (H1N1) ini dijangka akan dapat disediakan sebelum penghujung tahun ini," katanya.Menjawab soalan Liang sama ada kerajaan bercadang memberi pelalian vaksin influenza A (H1N1) secara percuma kepada rakyat, Liow berkata kerajaan akan mempertimbangkan cadangan itu."Pada masa ini ia memerlukan enam bulan, apabila vaksin siap dan ada dalam pasaran, ia perlu melalui ujian klinikal sebelum boleh buat pelalian kepada seluruh rakyat, kita akan buat pertimbangan apabila tiba masanya," katanya.Liow turut mengingatkan orang ramai yang mempunyai simptom demam agar segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital bagi mencegah penularan virus influenza A (H1N1)."Kalau sakit cepat jumpa doktor, apabila doktor sahkan H1N1, pesakit perlu dapatkan antiviral dengan cepat kerana apabila virus masuk dengan adanya antiviral ini ia akan perlahankan aktiviti virus dan badan ada antibodi," katanya.3Liow turut menggalakkan semua wakil rakyat mengadakan kempen kesedaran dengan mengedar risalah dan maklumat bagi memberi pengetahuan kepada rakyat di kawasan masing-masing mengenai wabak itu. BERNAMA