suria

Doktor palsu didakwa di mahkamah

SHAH ALAM: Seorang bekas pembantu klinik menerima pendapatan sebanyak RM5,000 sebulan dengan menyamar sebagai doktor sambilan di enam buah klinik di sini dan Bukit Sentosa sejak dua tahun lepas.

Bagaimanapun, kegiatan wanita berusia 47 tahun dan berasal dari Pulau Pinang itu terbongkar apbila beliau ditangkap oleh polis di sebuah klinik di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada 3 Jun lepas.

Khiron Mansor hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan menipu.

Dia didakwa memperdayakan seorang ketua jururawat Siti Zubaidah Baharun, 40, untuk mempercayai bahawa dia adalah seorang doktor bertauliah dan menerima bayaran upah berjumlah RM390 menerusi dua baucer bayaran bertarikh 2 Sept 2007 dan 31 Okt 2007.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Klinik Bandaran di No.7, Jalan Utas c/15C di sini, antara 2 Sept 2007 hingga 31 Okt 2007.

Khiron juga didakwa memperdaya seorang pembantu klinik Noor'ashikin Mat Ali @ Taharin, 38, untuk mempercayai bahawa dia adalah seorang doktor bertauliah dengan menyerahkan satu sijil Perakuan Amalan Tahunan (APC) milik orang lain kepadanya dan menerima bayaran upah sebagai doktor sambilan.

Tertuduh didakwa menerima bayaran itu melalui dua baucer wang tunai bertarikh 9 Mac 2008 dan 26 Mac 2008 berjumlah RM470 di Klinik Anis di No.17, Jalan Bunga Melur 2/1, Seksyen2 di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Majistret Afifah Mamat @ Yusof membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin bagi keduadua pertuduhan dan menetapkan 8 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dalira Din manakala tertuduh diwakili oleh peguam Bustaman Mansor.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor ACP Chong Mun Phing berkata Khiron ditangkap di sebuah klinik di Bukit Sentosa selepas bekerja selama tiga hari di situ dengan menggunakan sijil APC yang dicuri dari sebuah klinik di Kelantan.

"Doktor di klinik berkenaan telah memeriksa butiran sijil APC yang dikemukakan oleh Khiron secara online dengan Majlis Perubatan Malaysia dan mendapati nama atas sijil itu milik seorang doktor yang mempunyai klinik di Shah Alam," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya salinan sijil yang dikemukakan suspek menunjukkan alamat sebuah klinik di Kelantan dan suspek dipercayai menampal nama lain atas sijil itu sebelum membuat salinan.

Menurutnya suspek dipercayai mencuri sijil asal APC ketika bekerja sebagai pemantu klinik di Kelantan.

Chong berkata Khiron pernah bekerja sebagai doktor sambilan di enam buah klinik di Shah Alam sejak 2007 dengan bayaran upah kirakira RM35 sejam menggunakan sijil APC yang dicuri itu.

Katanya polis juga memburu kakak Khiron, Rossnah, 51, dari Taman Sri Muda di sini, yang dipercayai turut menyamar sebagai doktor.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Rossnah supaya menghubungi polis bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain