suria

A(H1N1): Pelajar, guru kembali dari luar negara perlu maklum jabatan

KUALA LUMPUR: Para pelajar dan guru yang baru pulang dari luar negara perlu segera memaklumkan kepada bilik gerakan kementerian atau jabatan yang terdekat dengan mereka, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

"Walaupun mereka tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda jangkitan influenza A(H1N1), mereka tetap akan direhatkan selama seminggu sebagai langkah proaktif dalam menangani penularan wabak ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke SRJK (C) Jalan Davidson di sini hari ini, yang baru dibuka semula hari ini setelah ditutup sejak 19 Jun berikutan penularan jangkitan wabak.

Wee berkata, sekolah yang ditutup kerana penularan influenza A harus membuat pemeriksaan suhu badan para pelajar apabila dibuka semula kerana ia merupakan satu prosedur bagi memantau kesihatan para pelajar bagi mengelak penularan penyakit itu semula.

"Sekiranya terdapat pelajar yang mempunyai tandatanda seperti demam panas, mereka harus terus rujuk kepada petugas Jabatan Kesihatan," katanya.

Dalam lawatan ke sekolah itu, Wee turut mengikuti ceramah pencegahan jangkitan influenza yang dikelola oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Pihak sekolah bersama PIBG turut mengadakan gotong-royong membersihkan kelas serta pemeriksaan suhu badan para pelajar dan petugas sekolah.

Mereka yang ingin memasuki kawasan sekolah juga diminta membersihkan tangan.

Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur turut menempatkan seorang pegawai perubatan bersama lima orang jururawat bagi memberi penerangan kepada para pelajar dan petugas mengenai langkah pencegahan yang perlu diambil, termasuk mengajar para guru cara mengguna termometer untuk memeriksa suhu badan para pelajar.

Wee berkata, inisiatif yang diambil oleh pihak sekolah berkenaan bersama PIBG dalam membendung penularan wabak ini adalah suatu yang baik dan mengembirakan serta diharap dapat dicontohi oleh sekolah lain.

Penularan influenza A(H1N1) di sekolah tersebut bermula pada 19 Jun lepas yang dijangkiti seorang murid perempuan berumur 11 tahun yang baru pulang bercuti dari Melbourne, Australia.

Dia dikatakan dijangkiti dari neneknya yang turut serta dalam percutian itu.

Berikutan dengan pengesanan kes itu, Kementerian Pelajaran atas nasihat Kementerian Kesihatan telah mengkuarantin pelajar dan guru kelas pelajar itu, namun apun beberapa rakan kelasnya turut dijangkiti dan seluruh sekolah diarahkan ditutup selama seminggu sejak Sabtu lepas.

Setakat ini masih terdapat tiga lagi sekolah yang ditutup selama semingggu sejak Isnin lepas, iaitu Sekolah Menengah Seksyen 9 Shah Alam, Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama, dan Sri Chempaka International School yang dijangka dibuka semula Isnin depan. BERNAMA

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan