suria

UPP rampas RM28,590 beras seludup

RANTAU PANJANG: Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kelantan berjaya menumpaskan cubaan menyeludup 9,530 kilogram beras Siam yang dianggarkan bernilai RM28,590 dalam dua serbuan berasingan di Rantau Panjang dan Pasir Mas.

Komander UPP Kelantan, Mazlan Che Hamid berkata serbuan pertama dilakukan pada Sabtu lalu apabila sepasukan anggotanya di jalan Felcra Bukit Tandak di sini, kira-kira pukul 1.30 pagi.

"Hasil serbuan itu kita telah menahan sebuah kereta jenis Proton Waja dan pemeriksaan lanjut mendapati ia sarat dengan muatan beras wangi sebanyak 580 kilogram serta 300 kilogram beras pulut yang kedua-duanya bernilai kira-kira RM2,640," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata rampasan kedua semalam dilakukan kirakira pukul 7 pagi hasil intipan sejak pukul 3.45 pagi dari kawasan pangkalan haram Pengkalan Kubor hingga ke Rantau Panjang.

"Anggota UPP yang membuat risikan telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Wira sebelum mengekorinya hingga ke Kampung Belukar di Pasir Mas," katanya.

Beliau berkata setelah sampai di kampung itu, kereta berkenaan memasuki sebuah stor.

"Anggota UPP bersama kakitangan Kawal Selia Padi dan Beras yang menyerbu stor berkenaan kemudiannya turut menemui sebuah lori sarat dengan muatan beras.

Menurut Mazlan pemeriksaan lanjut terhadap keduadua kenderaan itu di Pejabat Pencegahan UPP Rantau Panjang menemui 100 kilogram beras di dalam kereta dan 7,650 kilogram beras di dalam lori yang dianggarkan bernilai RM25,950.

"Tiada sebarang tangkapan dilakukan untuk keduadua serbuan itu dan semua beras yang dirampas akan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Kawal Selia Padi dan Beras untuk tindakan lanjut," katanya. BERNAMA

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan