suria

1Malaysia medium terbaik satukan rakyat - Hanif

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia seharusnya menjadikan konsep 1Malaysia sebagai satu realiti kerana ia merupakan platform terbaik untuk menjadi warganegara Malaysia yang kuat jati diri, kata mantan Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar.

Beliau berkata konsep itu merupakan cara terbaik untuk menyatupadukan rakyat pelbagai kaum dalam negara.

"Hanya itu caranya untuk menjadi kukuh selaras dengan perlembagaan," katanya pada sesi 'Sembang-Sembang Sejarah' anjuran Persatuan Sejarah Malaysia di Wisma Sejarah di sini, hari ini.

Hanif yang menyokong penuh konsep itu berkata rakyat harus menghayati konsep yang diaspirasikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ITU supaya ia dapat mencerminkan situasi negara pada hari ini.

"Saya berpendapat semangat di sebalik konsep ini memang baik, selagi mana ia menampilkan kepentingan bagi orang Melayu untuk tidak ketinggalan di belakang. Tapi sekiranya semua sudah saksama, nak apa lagi," katanya.

Hanif turut menjelaskan mengapa bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng tidak diterima untuk pulang ke tanah air, kerana menurutnya Chin Peng sememangnya tidak pernah menjadi warganegara.

"Chin Peng bukannya warganegara Malaya. Ketika dia dilahirkan di Perak, ketika itu Perak berada di bawah kawasan penempatan yang diserahkan kepada British," katanya. Beliau berkata apabila Perak tidak lagi di bawah pentadbiran British, kaum Melayu di Dinding menjadi rakyat kepada Sultan Perak, tapi Chin Peng pula tidak lagi menjadi rakyat British, menjadikan dia sebagai orang yang tidak bernegara. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain