NILAI: Seorang lelaki warga Indonesia dijumpai mati dibunuh di sebuah rumah pangsa di Taman Semarak, dekat sini, petang semalam.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Mohd Zaki Masroh berkata dalam kejadian yang dipercayai berlaku antara pukul 4.30 hingga 5.30 petang itu, mangsa dipercayai diserang oleh penyerangnya dengan sabit. "Polis menemui mayat mangsa selepas dihubungi orang awam yang terdengar bunyi bising seperti pergaduhan di rumah terbabit," katanya di sini, hari ini.Katanya mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di ruang tamu dengan kesan kecederaan pada kepala dan perut.Polis turut menemui dua bilah sabit di tempat kejadian, katanya."Kita mengesyaki dua rakan mangsa mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu. Kita tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan adalah balas dendam," katanya. BERNAMA