PETALING JAYA: Sepuluh lagi anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) - gabungan pakar tempatan dan antarabangsa - diumumkan hari ini termasuk Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Prof. Dr. Norma Mansor sebagai Ketua Setiausahanya.Pelantikan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi tadi. Mereka terdiri daripada Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak; bekas Ketua Pakar Bank Negara, Datuk Andrew Sheng dan Timbalan Pengarah ISIS dan MIER, Datuk Dr. Zainal Azman Mohd. Yusof.Lain-lain anggota ialah:- Dr. Mahani Zainal Abidin (Ketua Pengarah ISIS Malaysia)- Dr. Yukon Huang (Penasihat Kanan Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia)- Datuk Nicholas S. Zefferys (penasihat korporat syarikat tempatan dan luar negara)- Datuk Dr. Hamzah Kassim (Ahli Penasihat Pasukan Petugas Pelaksanaan Kebangsaan)- Prof. Dr. Danny Quah (Ketua Jabatan Ekonomi di London School of Economics)- Dr. Homi J. Kharas (Felo Kanan Wolfenshen Center for Development, Brookings Institution)MPEN dipengerusikan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan tokokh korporat, Senator Tan Sri Amirsham Abdul Aziz.Penubuhan MPEN diumumkan oleh Najib semasa membentuk barisan Kabinetnya April lalu selaku Perdana Menteri keenam. MODEL EKONOMI BARUDalam kenyataan itu, Najib berkata, MPEN akan bekerjasama dengan Unit Perancang Ekonomi bagi melaksanakan langkah-langkah transformasi model ekonomi baru.Jelas Najib, MPEN merupakan majlis tindakan khas yang mempunyai peranan dan fungsi khusus untuk mengkaji dan mengenal pasti langkah-langkah pengubahsuaian aktiviti sosioekonomi yang perlu diambil bagi membawa Malaysia dari sebuah negara berpendapatan sederhana tinggi kepada berpendapatan tinggi."Kerajaan telah memulakan langkah-langkah tertentu seperti meliberalisasikan sektor perkhidmatan dan syarat pegangan ekuiti bumiputera."Perubahan-perubahan ini selaras dengan hasrat kerajaan supaya Malaysia berpotensi maju ke hadapan dan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang mesra perniagaan dan destinasi terpilih bagi menarik pelaburan dari dalam dan luar negara," katanya.Najib menambah, Norma akan bertanggungjawab mengetuai sekumpulan setiausaha pakar yang akan memberi sokongan kerja sepenuhnya kepada MPEN dalam merangka dasar model ekonomi baru untuk kelulusan beliau."Penglibatan dan penggabungan tokoh-tokoh pakar tempatan dan dari luar negara yang berpengalaman luas dan mendalam dari segi perspektif global, adalah untuk memberi pandangan dan syor yang komprehensif untuk merangka strategi model ekonomi baru yang berkesan bagi mengatasi cabaran ekonomi negara di jangka masa pendek dan juga jangka masa panjang," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.