suria

4 'kepala' ah long ditahan, 2 lagi dikesan

KUALA LUMPUR: Empat 'kepala' dalam kegiatan ah long, termasuk seorang yang bergelar Datuk ditahan bagi membantu siasatan polis dalam kes membabitkan kegiatan ceti haram itu yang mempunyai rangkaian di dalam dan luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, mereka yang disyaki anggota sebuah kumpulan ah long itu berusia dalam lingkungan 30 hingga 56 tahun.

"Polis kini memburu dua lagi anggota kumpulan itu yang masih bebas. Kami percaya mereka berada di luar negara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai identiti dan lokasi keempatempat mereka itu ditahan.

Semalam, Mohd Bakri berkata, polis sedang mengesan enam lelaki termasuk seorang bergelar Datuk yang disyaki antara enam 'kepala' dalam kegiatan ah long di negara ini yang turut melibatkan rangkaian di peringkat antarabangsa.

Polis membentuk satu pasukan khas membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komesial Bukit Aman bagi mengesan dan menumpaskan kegiatan haram itu hingga ke peringkat akar umbi.

Bulan lepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap ah long dan menegaskan kegiatan ceti haram itu tidak boleh diterima sama sekali dan dibiarkan menular. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain