suria

Arab Saudi minat tingkat kerjasama ekonomi

JEDDAH: Arab Saudi berminat untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dengan Malaysia ekoran liberalisasi sektor ekonomi Malaysia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud menyatakan kemungkinan negaranya mengambil bahagian yang lebih aktif dalam sektor perbankan Islam, meningkatkan ekuiti serta menambah penglibatan dalam sektor perkhidmatan dan pengeluaran produk Islam di Malaysia.

Raja Abdullah yang juga Penjaga Dua Rumah Suci menyatakan demikian apabila Najib menghadap baginda di Istana Raja Abdullah di sini, lewat petang semalam (hampir tengah malam waktu Malaysia).

Bercakap kepada para pemberita Malaysia selepas pertemuan itu, Najib berkata ketika ini bank Arab Saudi iaitu Bank Al Rajhi sudah beroperasi di Malaysia dan terdapat usahasama antara usahawan keduadua negara dalam bidang telekomunikasi di Malaysia dan bidang tenaga serta pembangunan bandar di Arab Saudi.

Pentadbiran Najib telah meliberalisasi 27 subsektor perkhidmatan, sektor kewangan dan sektor pelaburan asing bagi menjadikan ekonomi Malaysia lebih menarik untuk pelabur asing dan merangsangkan aktiviti ekonominya dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa dunia.

Perdana Menteri yang melakukan lawatan kerja empat hari ke negara ini berakhir hari ini, berkata Raja Abdullah sangat berpuas hati dengan hubungan dua hala kedua-dua negara dan menyifatkan Malaysia sebagai negara yang sangat akrab dengan Arab Saudi.

"Baginda anggap Malaysia sebagai negara contoh dari segi kejayaan yang dicapai selama ini," kata Najib.

Mengenai isu antarabangsa, Perdana Menteri berkata Malaysia bersetuju dengan cadangan baginda supaya dialog antara agama berpusat di Austria di samping saranan agar dipercepatkan pelaksanaan berhubung pewujudan sebuah pusat antarabangsa bagi pertukaran maklumat risikan untuk mencegah keganasan.

Perbincangan isu antarabangsa mereka berdua juga meliputi perkembangan di Timur Tengah.

Menyentuh mengenai pelancongan, Najib berkata pelancong Arab Saudi sangat berpuas hati dengan pengalaman mereka di Malaysia.

Mengenai jemaah haji, Najib berkata baginda memuji sikap jemaah haji Malaysia yang sangat menghormati peraturan dan undang-undang serta tidak membawa ideologi politik ketika beribadat di Tanah Suci.

Malaysia, kata Najib, berterima kasih dengan kuota haji yang diberikan oleh Arab Saudi.

Raja Abdullah turut menerangkan kepada Najib mengenai usahausaha yang dilakukan oleh negaranya untuk meningkatkan kemudahan kepada para jemaah haji.

Ditanya mengenai mood pertemuan itu secara keseluruhannya, Najib berkata ia sangat mesra.

"Tak sangka pertemuan yang dijangka mengambil masa 30 minit berlarutan sehingga 1 jam 15 minit. Itupun pasal ada pegawai bagi tahu baginda Maghrib dah nak masuk," kata Najib.

Lagipun, kata Najib bukan mudah untuk mendapat peluang menghadap Raja Abdullah. Selepas pertemuan itu, Najib bersama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, anak lelaki mereka Nor Ashman Razak serta anggota rombongan berlepas ke Mekah untuk menunaikan Umrah. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain