suria

Budaya fikir asas kepada masyarakat maju - TPM

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru masyarakat memperluaskan penghayatan budaya fikir (thinking culture) dan menjadikannya sebahagian daripada budaya hidup mereka sebagai sebuah masyarakat maju.

Timbalan Perdana Menteri berkata budaya fikir inilah yang akan menjadi faktor penentu utama yang bakal menjamin pembangunan tamadun baru dan kewujudan bangsa yang cemerlang pada masa depan.

Beliau juga mahu masyarakat membuang sindrom kelesuan, kemalasan dan kelemahan berfikir.

"Sekiranya kita lesu daya fikir dan lemah kekuatan minda, serta terus khayal dengan aktiviti yang melekakan, akhirnya masyarakat kita akan ketandusan jiwa.

"Kita perlu menjana masyarakat yang berbudaya fikir tinggi dengan kecenderungan untuk membuat kajian, melakukan penganalisaan, menerbitkan karya ilmiah berkualiti, mencintai ilmu, menggemari wacana ilmiah, dan menghargai serta menyanjung golongan ilmuan," katanya pada majlis Malam Sumbangsih Yayasan Nurul Yaqeen Aprisiasi ke 18 tahun di sini semalam.

Majlis itu turut dihadiri isteri beliau Puan Sri Noorainee Abd Rahman.

Timbalan Perdana Menteri yang juga pengerusi yayasan itu turut menekankan perlunya masyarakat membina generasi muda yang berpegang kepada nilainilai kudus yang kental jati diri, berkeperibadian mulia, berketrampilan, tinggi daya tahan dan daya juang.

"Kekhuatiran terhadap kualiti generasi muda dalam menangani cabaran masa depan bukanlah suatu yang tidak berasas langsung.

"Kita dapati penglibatan generasi muda di dalam masalahmasalah sosial kian kritikal," katanya. Justeru katanya generasi kini dan seterusnya mestilah dibina dengan penjiwaan dan penghayatan agama dan tidak tenggelam dalam arus kebendaan.

Katanya tanpa dorongan dan landasan keagamaan, masyarakat kita akan menjadi seperti masyarakat sekular Barat yang melihat sesuatu dari sudut yang begitu relatif, pragmatik, dan rationalistik semata-mata.

"Ini akan mengakibatkan kepincangan pembangunan dan mencetuskan keruntuhan generasi seperti yang sedang berlaku di negara mereka," katanya. BERNAMA

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan