KUALA LUMPUR Jeritan seorang wanita meminta tolong gagal menyelamatkannya apabila ditemui rentung dalam bilik tidurnya dalam kebakaran di rumahnya di Taman Dagang dekat sini hari ini.Ester Chong Sook Lee, 28, ditemui rentung dalam kebakaran kirakira pukul 4 petang itu yang hanya memusnahkan bilik tidur wanita itu sahaja, kata Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Ampang Mazlan Zainol. Kebakaran itu tidak sempat merebak ke bahagian lain rumah teres tiga tingkat itu kerana berjaya dipadamkan oleh beberapa jiran, katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian."Kita menerima laporan kirakira 10 minit kemudian dan setiba di sini api sudah dipadamkan oleh jiran," katanya dan menurutnya ketika kejadian datuk mangsa yang berusia 70 tahun sedang minum di bahagian bawah manakala ibunya Chang Yik Ying, 40an sedang bekerja."Mangsa dipercayai lemas akibat asap tebal dan punca kebakaran kita sedang siasat," katanya.Mazlan berkata seramai lapan anggota dan pegawai bersama satu jentera dari Balai Bomba Ampang dikejarkan ke tempat kejadian. Salim Ngah, 53, jiran mangsa berkata ketika kejadian beliau terlihat beberapa kanakkanak keluar masuk rumah itu."Bila saya keluar rumah, saya nampak api dah marak dan asap tebal, jadi saya bersama beberapa orang jiran cuba memadamkan kebakaran. Selepas api padam, saya tanya datuk mangsa di mana cucu, dia kata ada di atas dan saya bergegas naik tengok mangsa dah rentung," katanya.Beliau berkata semasa kejadian beberapa kanakkanak di situ berkata ada terdengar orang menjerit meminta tolong dari tingkat atas rumah.Katanya, mangsa sudah tiga bulan berhenti kerja sebagai jurujual.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan ketika ditemui berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. BERNAMA