KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini Isnin melepaskan dan membebaskan bekas Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Yusoff atas tuduhan mengarahkan penggunaan pesawat polis untuk kepentingan peribadinya dua tahun lepas."Pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan tertuduh layak untuk dilepaskan dan dibebaskan," kata Hakim Supang Liang dalam penghakimannya. Ramli, 56, didakwa pada 19 Nov 2007 atas tuduhan menyalahgunakan kuasanya sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman untuk perolehan kewangan dengan mengarahkan dan menggunakan pesawat Cessna Caravan Polis Diraja Malaysia untuk membawanya melakukan pengawasan dari udara terhadap dua lot di Ulu Tungku, Lahad Datu, di mana syarikat hartanahnya Kinsajaya Sdn Bhd mempunyai kepentingan.Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira 7.50 pagi pada 15 Jun 2007 di Unit Udara Polis Sabah, Tanjung Aru dekat sini.Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu, yang jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda minimum RM10,000 di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Rasuah, dan telah dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Kevin Morais dan Joyce Blasius, memanggil 75 saksi dalam perbicaraan selama 59 hari antara 13 Mei tahun lepas dan 6 Julai tahun ini.Ramli diwakili peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah dan James Tsai. BERNAMA