suria

SPRM nafi 'Teoh' dipukul teruk ketika disoal siasat

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menafikan dakwaan artikel dan klip video yang disiarkan dalam sebuah laman web menunjukkan seorang lelaki dipukul teruk oleh sekumpulan lelaki dalam satu proses yang didakwa sebagai soal siasat.

SPRM dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, tindakan penulis artikel itu yang turut mengaitkan insiden kematian melibatkan mendiang Setiausaha politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock seolah-olah mendakwa SPRM telah bertindak kejam dan tidak mematuhi standard penyiasatan sehingga menyebabkan kematian Teoh.

Kenyatan itu berkata perbuatan menyiarkan artikel dan klip video itu merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab yang disengajakan oleh penulis blog terbabit bagi menggambarkan suruhanjaya itu sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang kejam dan tidak boleh dipercayai.

"Ia juga bertujuan untuk menimbulkan kebencian masyarakat ke atas SPRM dan meraih simpati orang ramai demi kepentingan agenda pihakpihak tertentu.

"Sehubungan itu, SPRM telah membuat laporan polis berhubung penyiaran dan penyebaran artikel dan video klip tersebut bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588)," kata kenyataan itu.

SPRM BUKAN ALAT BN

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dakwaan parti pembangkang bahawa SPRM merupakan alat kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah tidak benar sama sekali.

Beliau berkata, SPRM adalah sebuah badan bebas dan boleh menyiasat dan seterusnya mengambil tindakan terhadap sesiapa saja yang didapati bersalah.

"SPRM adalah satu badan bebas dan mereka tidak pilih bulu, jadi parti pembangkang telah dakwa SPRM sebagai alat kerajaan BN, (dakwaan itu) adalah tidak benar dan kalau mereka (SPRM) dapat laporan yang dilakukan oleh sesiapa pun, mereka akan ambil tindakan," kata Najib.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Terengganu bersama dua lagi ditahan oleh SPRM kelmarin setelah dipercayai menerima sogokan berjumlah lebih RM20,000 daripada sebuah syarikat pemaju.

Ketiga0tiga mereka yang ditahan di sebuah bilik hotel di Kemaman, Terengganu pada pukul 9.20 kelmarin itu direman selama lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Najib berkata, SPRM menahan ADUN terbabit adalah untuk siasatan terhadap kes yang dihadapi selain terus menguatkuasakan undangundang mencegah jenayah rasuah.

"Jadi itu satu buktilah bahawa dakwaan parti pembangkang adalah tidak betul," katanya.

Terdahulu, Najib melancarkan Inisiatif MSC Malaysia Pahang di Putra Square di sini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain