suria

8 lagi kematian A(H1N1) dikesan

KOTA KINABALU: Lapan lagi kematian akibat Influenza A (H1N1) disahkan hari ini, menjadikan jumlah kematian kepada 26 di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tujuh kematian melibatkan kumpulan berisiko tinggi dan sesetengahnya dilaporkan lewat berikutan bedah siasat untuk kajian dan pengesahan punca kematian.

Beliau berkata, satu kematian dicatatkan pada 3 Ogos, diikuti dua lagi (5 Ogos), empat (6 Ogos) dan satu lagi pada 8 Ogos," katanya kepada pemberita pada majlis penamaan semula Hospital Likas kepada Hospital Wanita dan Kanak Kanak Sabah di sini hari ini.

Liow berkata, dua daripada kes itu adalah dari Sabah.

Katanya, yang pertama melibatkan seorang wanita obes berumur 24 tahun yang dirawat di Hospital Ranau pada 1 Ogos, yang mengalami demam dan batuk selama empat hari.

Wanita itu kemudian dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) di sini pada 5 Ogos dan meninggal dunia pada hari yang sama.

Satu lagi kes melibatkan lelaki berumur 74 tahun yang menghidap sakit jantung kronik yang dimasukkan ke QEH pada 3 Ogos, yang mempunyai sejarah mengalami masalah kesukaran bernafas selama sebulan dan demam selama sehari sahaja.

Lelaki itu meninggal dunia pada 6 Ogos.

Kes lain termasuk pelajar wanita berumur 20 tahun yang dirawat sebagai pesakit luar bagi penyakit serupa Influenza (ILI) pada 1 Ogos dan meninggal dunia di bilik asrama, lima hari kemudian; seorang lelaki berumur 48 tahun yang menghidap asma dan hipertensi dari Sarawak, dan seorang lelaki obes berumur 37 tahun dari Johor.

Liow berkata, pada ketika ini, terdapat sejumlah 62 kes yang sedang menerima rawatan di hospital dan 13 kes lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala lima lagi kes disyaki H1N1 turut ditempatkan di ICU bagi menunggu keputusan.

"Setakat ini di Sabah, kes H1N1 yang disahkan ialah 402 kes, dua kematian, tujuh sedang dirawat di hospital di mana seorang dalam ICU, dan tujuh lagi kes ILI, sementara menunggu pengesahan," katanya dan menurutnya, terdapat kanak-kanak yang terlibat tetapi tidak mempunyai butirannya.

Liow berkata, 35 buah sekolah telah ditutup di Sabah akibat wabak H1N1.

RAKYAT TEMPATAN

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, sejumlah 202 kes baru H1N1 yang melibatkan jangkitan tempatan dilaporkan hari ini. Kesemua mereka adalah rakyat tempatan, katanya dalam satu kenyataan.

Dr. Mohd Ismail berkata, dengan ini jumlah terkumpul kes H1N1 di Malaysia ialah 1,780 kes.

Beliau turut meminta orang ramai supaya serius mengambil langkah-langkah pencegahan dan mengikuti nasihat Kementerian Kesihatan iaitu mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi perlu mendapatkan rawatan segera.

Mereka dalam kategori berisiko tinggi terdiri daripada kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah, warga tua berusia 65 tahun ke atas, wanita hamil, berpenyakit asma, paruparu kronik, kegagalan fungsi organ, penyakit kardiovascular, penyakit hati, penyakit sistem darah, penyakit saraf, diabetes, obes dan mempunyai daya ketahanan badan yang rendah.

Kumpulan ini akan diberikan rawatan antiviral tanpa memerlukan ujian pengesahan makmal, dan ianya sangat berkesan untuk mengubati pesakit jika dimulakan dalam tempoh 48 jam selepas gejala bermula.

Dr. Mohd Ismail berkata, maklumat lanjut mengenai H1N1 boleh didapati melalui hotline yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300 atau melayari laman web kementerian di http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

KOTA KINABALU: Lapan lagi kematian akibat jangkitan influenza A(H1N1) dilaporkan di negara ini - menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini telah mencecah 26 orang.

Jumlah terbaru itu termasuk kes-kes yang tidak dapat dikesan sebelum ini.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, kematian-kematian itu dilaporkan antara 3 Ogos lalu dan semalam.

"Sesetengah kematian hanya dikesan diakibatkan oleh jangkitan influenza A(H1N1) selepas post-mortem dikendalikan.

"Kebanyakan kematian membabitkan mereka dalam kumpulan berisiko tinggi," kata beliau selepas menghadiri Konvensyen MCA Sabah hari ini.

Salah seorang mangsa merupakan pelajar kolej berusia 20 tahun, yang meninggal dunia di hostel selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Kini seramai 62 pesakit sedang menjalani rawatan kerana A(H1N1) termasuk 13 orang yang dirawat di unit rawatan rapi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain