suria

Wacana ilmiah Pemuda PAS-Umno tak jadi kenyataan?

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS akan menganggap Pemuda Umno "tak berani untuk berwacana" jika tidak menjawab surat berkaitan penubuhan jawatankuasa teknikal bagi menjayakan wacana ilmiah membabitkan ketua kedua-dua pergerakan itu menjelang bermulanya bulan Ramadan.

Malah sayap PAS itu akan beranggapan bahawa "perjuangan Umno bertentangan dengan Islam" jika tiada maklum balas daripada Pemuda Umno.

"Kalau dalam seminggu dua ini tiada jawapan, kami akan anggap Pemuda Umno tidak berani, tidak berminat untuk berwacana," kata Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Kamaruzaman Mohamad ketika dihubungi mStar Online.

Kamaruzaman yang dilantik menganggotai jawatankuasa teknikal bagi pihak Pemuda PAS mengesahkan yang pihaknya telah membincangkan soal berkenaan pada mesyuarat bulanan yang diadakan semalam.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya masih mengharapkan agar akan memperoleh jawapan balas daripada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk melantik wakilnya menduduki jawatankausa teknikal.

"Kami masih menunggu dan kami berharap pihak Khairy akan menjawab," katanya.

Sebagai Setiauasaha Pemuda PAS dan anggota jawatankuasa teknikal, Kamaruzaman telah menulis surat kepada Khairy dua minggu lalu mengenai pembentukan jawatankuasa itu dan meminta Pemuda Umno juga menamakan wakil pihak mereka.

Bagaimanapun Khairy mahu mengadakan pertemuan empat mata dengan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Al-tantawi sebelum meneruskan wacana ilmiah yang dicadangakan itu.

Menurut Khairy, beliau mahu berjumpa dengan Nasrudin untuk bertanyakan tujuan sebenar wacana tersebut diadakan dan mendengar sendiri daripada dari isi hati Ketua Pemuda PAS itu.

"Tak perlu ada Setiausaha dia atau Setiausaha saya, hanya saya dengan dia. Tapi pertemuan, Khairy jumpa dengan Nasrudin bukan muzakarah saya cuma ingin tahu apa yang dia (Nasrudin) hendak," kata beliau.

Khairy juga telah menulis sepucuk surat kepada Nasrudin pada Jun lalu untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Pemuda PAS itu.

Bagaimanapun, tegas Khairy, Nasrudin tidak menjawab surat tersebut sebaliknya beliau telah mengarahkan Setiausaha Pemuda PAS, Kamaruzaman Mohamad menulis kepadanya.

Pada 1 Julai lalu, Dewan Pemuda PAS menjemput Pergerakan Pemuda Umno pusat untuk mengadakan wacana ilmiah bagi membincangkan isu-isu yang menjadi polemik di negara ini.

Nasrudin telah mencadangkan tajuk "Benarkah Perjuangan Umno Tidak Bertentangan Dengan Islam".

Perkara-perkara yang akan difokuskan dalam wacana itu adalah berhubung isu-isu berbangkit termasuk soal prinsip dan hala tuju perjuangan bersama termasuk yang membabitkan umat Islam di negara ini.

Kamaruzaman bimbang kemungkinan wacana yang disyorkan itu tidak dapat diadakan sebelum bermulanya bulan Ramadan kerana masa sudah suntuk.

Lagi pun katanya, pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir akan diadakan dalam waktu terdekat.

"Nampaknya jika pun dipersetujui wacana hanya dapat diadakan selepas Aidilfitri," katanya.

Wacana itu ditangguhkan untuk perbincangan lanjut sehingga berakhirnya pilihan raya kecil Dewan Undangan Manek Urai bulan lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain