suria

Anggota PAS perlu berani tegur pemimpin mereka - Khairy

ROMPIN: Anggota PAS perlu lebih bertanggungjawab dan berani menegur pemimpin mereka yang dilihat sanggup membenarkan DAP menghina Islam.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, mereka tidak sepatutnya mendiamkan diri dengan tindakan pemimpin mereka yang berterusan mengeluarkan kenyataan yang dilihat boleh menjejaskan identiti, agama dan bangsa.

"PAS hari ini kita lihat sanggup mengorbankan prinsip mereka demi kuasa dan ini jelas menunjukkan pemimpin mereka mempamerkan trend yang tidak sihat kepada politik negara.

"Jika mereka bertanggungjawab, mereka tidak sepatutnya mengizinkan pemimpin mereka menghina Islam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno bahagian Rompin dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang disifatkan ramai pihak sebagai tidak mempunyai pendirian konsisten apabila menghalalkan pemimpin DAP menghina Islam.

"Ahli PAS sendiri perlu bangkit dan membetulkan keadaan kerana Umno hanya mampu bertindak dari luar.

"Mereka sepatutnya berani menegur pemimpin mereka dan bukannya terus memberi ruang kepada lebih banyak keburukan berlaku," katanya.

"Dalam Al-Quran sendiri telah tercatat bahawa agamaku untukku dan agamamu untukmu. Ini bermaksud kita perlu menghormati agama lain tetapi jangan pula kita membiarkan agama lain menghina kita," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain