suria

Wanita Thailand dijatuhi hukuman gantung edar kanabis

KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung mandatori terhadap seorang wanita warga Thailand selepas mendapatinya bersalah mengedar dadah jenis kanabis, enam tahun lepas.

Hakim Datuk Sulaiman Daud menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan terhadap Rosmawati Che Ngah tanpa sebarang keraguan.

Rosmawati, 31, yang berasal dari Sungai Golok, Thailand Selatan bagaimanapun kelihatan tenang ketika Sulaiman menjatuhkan hukuman tersebut namun saudara mara dan sahabat handai yang berada di galeri awam kelihatan sebak dan mengalirkan air mata.

Mereka kemudiannya memeluk dan mencium Rosmawati yang merupakan ibu tunggal kepada dua orang anak, masing-masing berusia 13 dan 11 tahun.

Pada 15 Feb 2005, Mahkamah Tinggi yang sama menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun mengikut Seksyen 39 (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada tertuduh dan ini merupakan perbicaraan semula kes itu selepas pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap hukuman tersebut.

Tertuduh ketika itu terlepas hukuman mati selepas pertuduhan mengedar mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dipinda kepada Seksyen 39A (2) akta yang sama.

Notis rayuan itu difailkan pihak pendakwaan pada 16 Februari 2005 dan mahu perbicaraan mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dijalankan semula terhadap tertuduh.

Pada 15 Feb 2005, Sulaiman menjatuhkan hukuman penjara itu selepas Rosmawati mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan memiliki 865.8 gram dadah jenis kanabis.

Pada prosiding hari ini, peguam tertuduh Nik Mohd Radhia Nik Abd Ghani sebelum itu memohon mahkamah meringankan hukuman terhadap tertuduh.

"Tertuduh telah bercerai dengan suami, anak-anak pula ditanggung oleh kakak tertuduh dan ini merupakan kesalahan pertama yang dilakukan tertuduh," katanya.

Ketika menjatuhkan hukuman Sulaiman menjelaskan hanya satu hukuman sahaja yang diperuntukkan untuk seksyen tersebut iaitu hukuman gantung mandatori.

Rosmawati yang berasal dari Sungai Golok didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 865.8 gram pada 31 Jan 2003 di hadapan Bank Pertanian Machang pada pukul 12.15 tengah hari.

Tertuduh telah disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun hakim menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut sehingga tamat tempoh rayuan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain