suria

TPM mahu umat Islam Malaysia hargai kesejahteraan, keamanan negara

TANGKAK: Masyarakat Islam di negara ini perlu menghargai kesejahteraan dan keamanan yang dipupuk sejak sekian lama tanpa perlu bimbang akan berlaku konflik sebagaimana di negara Islam lain seperti Iraq dan Afghanistan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata umat Islam di negara ini perlu berasa bertuah kerana mampu menjalani kehidupan harian dengan penuh harmonis, tanpa diancam dengan bahaya pergolakan bersenjata serta konflik.

"Banyak negara lain yang menghadapi masalah sehingga menjejaskan kehidupan mereka termasuk pergaduhan sesama sendiri, perang saudara, pergaduhan antara puak dan penjajahan seperti yang dihadapi di Iraq," katanya pada majlis penyerahan sumbangan kepada masjid dan surau kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang, di Masjid Jamek Al Muhajirin Felda Seri Ledang semalam.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Serampang, Tahir Mohd Taat, Adun Jorak Dr Shahruddin Salleh dan Pegawai Daerah Ledang, Amran Abdul Rahman.

Muhyiddin berkata pergolakan yang berlaku di negara Islam terbabit boleh menjejaskan rakyat sehingga tidak dapat mencapai kemajuan dan mengakibatkan mereka terpaksa hidup dalam serba kekurangan.

Katanya terdapat juga negara Islam yang sudah merdeka dan mentadbir negara sendiri tetapi masih mundur akibat pergaduhan sesama sendiri sehingga menimbulkan suasana tidak tenteram.

Timbalan Perdana Menteri berkata rakyat negara ini perlu menjadikan sambutan hari kemerdekaan ke52 pada 31 Ogos ini untuk menghayati kembali sejarah hasil daripada perjuangan generasi terdahulu.

Muhyiddin berkata umat Islam perlu terus mempertingkatkan modal insan melalui penguasaan ilmu yang menjadi antara perkara penting perpaduan ummah.

Katanya kerajaan sentiasa mengambil berat soal pendidikan dengan membelanjakan berbilion ringgit setiap tahun termasuk pemberian makanan percuma dengan peruntukan RM1.8 bilion setahun kepada antara lima hingga enam juta pelajar sekolah setiap tahun, dalam usaha memastikan rakyat dapat menguasai ilmu.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata melalui peruntukan itu tiada sebab untuk rakyat tidak dapat menguasai ilmu jika mereka bersungguh-sungguh berbuat demikian. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain