PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Seputeh, Datuk Abu Hassan Sarif menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan nasib beliau sebagai wakil rakyat termasuk jika mahu mengadakan pilihan raya kecil di bahagian tersebut.Wakil rakyat sejak 1995 itu berkata, beliau akan menerima apa saja keputusan yang bakal dibuat oleh suruhanjaya itu Selasa ini. "Saya serah kepada SPR... kita serah kepada apa saja keputusan yang akan diputuskan oleh SPR... saya akan komen selepas keputusan SPR nanti," kata Ketua Umno Bahagian Jerlun ini ketika dihubungi petang semalam.SPR akan bermesyuarat Selasa ini bagi menentukan sama ada perlu diisytharkan kerusi DUN Kota Seputeh sebagai kosong ataupun sebaliknya.Ketika dihubungi mStar Online, beliau menghadiri majlis penyerahan bantuan kepada anak-anak yatim yang turut disertai Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir.Ditanya sama ada beliau tertekan ekoran perkembangan tersebut, Abu Hassan berkata, "tidak, saya seperti biasa saja."Beliau mengakui situasi yang dialaminya sekarang merupakan kali pertama sejak dipilih sebagai ADUN pada pilihan raya umum 1995.Abu Hassan, 54, walaupun berhadapan dengan kemungkinan dilucutkan jawatannya sebagai ADUN Kota Seputeh, ekoran makluman Speaker kepada SPR tetapi terus menjalankan tugas sebagai wakil rakyat."Saya terus mengadakan pertemuan dengan penduduk kawasan saya... semalam saya hadiri majlis bulan Ramadan, pagi tadi mesyuarat agensi MADA dan sekarang di Kg. Siputeh (bersama Mukhriz)," katanya lagi.Pada 18 Ogos lalu, Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail berkata, beliau sudah menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan 16 Ogos lalu.Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.Kerusi itu dimenangi Abu Hasan dengan majorti 495 undi. Lawannnya, Ismail Wan Teh dari PAS menerima 7,665 undi.Abu Hassan menjelaskan, beliau juga telah mengemukakan surat sakit bagi membuktikan sebab ketidakhadirannya pada sidang DUN tempoh hari.