DALAM perjalanan ke pejabat pada pagi Jumaat di tengah-tengah kesesakan Damansara Jaya menuju ke Seksyen 16, PJ, saya memutar radio untuk menghilangkan kebosanan diri selepas hampir 20 minit kenderaan tidak berganjak.Terdengar suara pilu pengacara radio ini yang kebiasaannya ceria di pagi hari. Dia sedang mendengar keluhan nasib seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang menetap di Sarawak.Kisahnya amat menyayat hati.Remaja tersebut bernama Syekin. Dalam usia semuda itu Syekin terpaksa berhenti sekolah untuk menjaga ahli keluarganya yang lain.Bapanya telah lama meninggal dunia. Ibunya masih ada tetapi kali terakhir dia mendengar cerita, khabarnya si ibu kini sedang berada di Sabah mencari kerja.Sepanjang perbualan dengan DJ Radio tersebut, tutur bahasa Syekin sangat teratur - tidak sama sekali memperlihatkan ciri-ciri seorang yang tercicir sekolah.Tetapi hakikatnya dia memang tidak bersekolah lagi. Tutur katanya yang indah tidak sepadan dengan masa depannya yang kelam.Dia bercakap dengan perlahan. Tidak kelam-kabut. Loghat bahasanya juga tidak pelat dan tidak juga kedengaran janggal. Sangat luar biasa untuk seorang remaja yang tercicir sekolah. Mungkin semua ini terpancar dari kekuatan dalamannya.Tetapi di sebalik itu semua, Syekin melayari kehidupan yang sangat tragis, sedih, pilu, menyayat hati dan malang.Kata Syekin, abang sulungnya kais pagi makan pagi sebagai seorang nelayan. Ada suatu hari tu, abangnya pulang dari laut tanpa seekor hasil tangkapan pun.Pada hari itu kata Syekin mereka sekeluarga tidak menjamah apa-apa melainkan berlapar.Seorang lagi abangnya berada di penjara. Kesalahannya? Mencuri motosikal.Dia ada seorang lagi adik. Adiknya itu masih bersekolah dan itulah tanggungjawabnya paling utama. Memastikan adiknya itu terus bersekolah dan tidak menanggung nasib malang sepertinya.Nasib dan masa depan adiknya itulah yang menjadi sandarannya sekarang untuk terus berjuang dan berkorban hidup.Kata Syekin, raya tahun lepas mereka sekeluarga berendamkan air mata. Si ibu tidak pulang-pulang katanya dan adik asyik bertanyakan ibu. Adik rindu dan terkenangkan ibu, kata Syekin.Tapi dia tidak berupaya mengembirakan adiknya itu di pagi Syawal kerana dia sendiri tidak tahu sama ada kali ini ibunya akan kembali ke pangkuan mereka.Syekin merayu ibunya supaya pulang ke pangkuan mereka 1 Syawal ini walaupun tanpa membawa pulang wang dan keperluan untuk berhari raya.Tak terperi sedihnya mendengar kisah Syekin.Pada masa yang sama, di sini, anak-anak kita pantas merajuk apabila kehendak mereka untuk ke KFC atau McDonald mahupun Pizza Hut tidak dipenuhi.Ada anak-anak yang menuntut ibu-bapa membawa mereka menonton wayang setiap hujung minggu. Jika permintaan tidak ditunai, mereka merajuk lantas memprotes dengan enggan membantu mengemas rumah atau menolong ibu di dapur.Malah ada anak-anak yang setiap kali menjelangnya ulangtahun hari lahir siang-siang lagi telah mengirim mesej ringkas kepada si ayah jangan lupa membeli telefon bimbit baru sebagai hadiah.Sebenarnya mereka tidak sedar betapa bertuahnya mereka di sini.Mereka tidak merasai dan tidak mengalami apa yang Syiken dan keluarganya sedang lalui sekarang.Aduhai Syekin, Alahai anak-anak ku...ROZAID A. RAHMAN, sentiasa cuba untuk memuaskan hati dan permintaan anak-anaknya walaupun dalam banyak keadaan, beliau tidak dapat memenuhi kesemua tuntutan mereka.