suria

DUN Bagan Pinang: Muhyiddin mahu Umno Negeri Sembilan senarai beberapa nama

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta Umno Negeri Sembilan menyenaraikan beberapa nama untuk dipertimbangkan sebagai calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Sembilan kawasan Bagan Pinang.

Timbalan Perdana Menteri berkata langkah itu penting untuk membolehkan pucuk pimpinan parti membuat penilaian dengan lebih objektif.

"Saya belum terima apaapa lagi jadi saya tak boleh nak andaikan apa nama atau siapa yang nak dikemukakan, tapi peringkat kepimpinan tertinggi termasuk Perdana Menteri dan saya mengharapkan beberapa nama dikemukakan," katanya ketika diminta mengulas keputusan Umno Teluk Kemang yang dilaporkan hanya mahu menyenaraikan nama bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Abdul Samad, yang juga ketua bahagian itu, sebagai calonnya.

Kerusi Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohamad Noor, 54, daripada BN meninggal dunia pada 4 Sept lepas.

Ketika mengulas mengenai kemelut Umno Terengganu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, pertemuan secara telus dan terbuka akan diadakan bersama pihak terbabit selepas Hari Raya Aidilfitri.

Katanya penyelesaian bagi kemelut tersebut sangat penting memandangkan ia telah berlanjutan lebih dari setahun sedangkan tumpuan seharusnya diberi kepada usaha dan proses pembangunan negeri.

"Saya akan selesaikan perkara ini seperti yang saya maklumkan sebelum ini. Sudah tentu sekarang dengan (majlis) berbuka puasa dan sebagainya, mood itu belum tiba tetapi adalah jelas bahawa sangat penting untuk kita mencari penyelesaian terakhir kerana kita tak mahu ia berlanjutan lagi," katanya.

Krisis politik Terengganu bermula selepas pelantikan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar kerana beliau tidak mendapat sokongan beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri itu daripada BN. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno adalah parti Islam, kata Najib

Artikel Berikut

Artikel Lain