PETALING JAYA: Sentimen anti-Malaysia yang sedang panas di Indonesia sekarang telah mendorong empat pertubuhan bukan kerajaan dari Malaysia dan Indonesia memutuskan untuk mempercepatkan penubuhan Pusat Strategik Indonesia-Malaysia (IMSC) bagi membentuk kesefahaman membabitkan generasi muda kedua-dua negara.Keputusan penubuhannya telah dicapai secara sebulat suara pada pertemuan tertutup yang diadakan Subang hari ini. Perkara itu dinyatakan menerusi kenyataan yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Pusat Strategik Indonesia, Ir. Bagus Satriyanto; Pengerusi Yayasan Generasi Baru Nusantara, Mohamad Ezam Mohd. Nor; Pengarah Eksekutif Yayasan Generasi Baru Nusantara, Imam Nur Azis; Pengarah Eksekutif Pusat Bagi Reformasi Indonesia, Sapto Wuloyo; Dekan Fakulti Ilmu Budaya Universiti Indonesia, Dr. Yon Machmudi; Timbalan Setiausaha Agung Lembaga Persahabatan Indonesia, Chairul Anhar dan Ketua Eksekutif Pusat Strategik Malaysia Indonesia, Ismail Awab.Ketika dihubungi, Ezam menjelaskan, IMSC antara lain akan menumpukan fokus untuk membentuk anjakan paradigma yang bersifat setantau di kalangan generasi muda Indonesia-Malaysia untuk menumpukan faktor-faktor positif yang wujud sebagai sumber yang boleh disinergi demi kelesterian sejarah budaya dan ekonomi kedua-dua negara."Kami amat prihatin terhadap rentetan dan himpunan isu-isu yang sedang berlaku di antara Indonesia dengan Malaysia sejak kebelakangan ini."Kami percaya situasi semasa yang sedang berlaku hari ini boleh membuka ruang yang mewujudkan suasana yang didorong oleh emosi negatif, yang akan membina persepsi dan reaksi negatif di kalangan generasi muda kedua-dua negara yang mana ia tidak mengguntungkan kedua-dua negara dan juga rakyat umum," katanya.IMSC akan berpejabat di Jakarta, Indonesia, kata Ezam.Oleh kerana telah wujud satu bentuk kefahaman dan kemuafakatan kukuh di pihak kerajaan kedua-dua negara Indonesia dan Malaysia di peringkat diplomatik, politik dan tokoh-tokoh utama, IMSC akan memainkan peranan membabitkan generasi muda, kata Mohamad Ezam."Demi menyambut seruan serta aspirasi yang telah ditekankan oleh kerajaan kedua-dua negara, kami yang mewakili golongan muda serta kumpulan profesional dan teknokrat, pada pertemuan tertutup, telah secara sebulat suara memutuskan beberapa resolusi untuk dilaksanakan secara usaha sama berterusan melalui usaha bersifat strategik dalam menyumbangkan peranan masing-masing bagi menangani masalah-masalah semasa," katanya.Mengulas lanju, Ezam memberitahu, IMSC sepatutnya ditubuhkan awal tahun depan."Bagaimanapun ia dipercepatkan penubuhannya ekoran situasi anti-Malaysia yang tercetus di Jakarta baru-baru ini," katanya lagi.Jelas beliau, usaha penubuhan IMSC telah dimulakan sejak enam bulan lalu.Semalam mStar Online melaporkan, mahasiswa Malaysia dan Indonesia telah mengorak langkah positif untuk meredakan ketegangan kedua-dua buah negara ekoran sentimen anti-Malaysia dengan bersetuju membentuk badan baru Indonesian-Malaysian Students Association (IMSA).Persetujuan tersebut dicapai hasil pertemuan yang dianjurkan oleh Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) Jakarta, Jumaat lalu.Pengarah MSD Jakarta, Dr. Junaidy Abu Bakar memberitahu, persetujuan tersebut dicapai dalam pertemuan yang dihadiri oleh wakil-wakil daripada Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia-Indonesia dan Kelab Umno Jakarta dengan pemimpin pelajar Indonesia yang diwakili oleh Badan Eksekutif Mahasiswa Indonesia.Pertemuan tersebut diatur oleh MSD untuk meredakan ketegangan ekoran sentimen anti-Malaysia yang dianjurkan oleh beberapa badan tertentu khususnya oleh satu kumpulan yang mengelar diri mereka sebagai Benteng Demokrasi Rakyat.Sentimen anti-Malaysia ini dianjur dalam bentuk demonstrasi saban hari khususnya di Jalan Diponegoro, Jakarta yang terletak hanya lebih kurang 7 hingga 8 kilometer dari Kedutaan Malaysia.Mereka juga melakukan demonstrasi di hadapan kedutaan Malaysia hampir setiap hari sejak beberapa minggu kebelakangan ini termasuk membaling telur busuk minggu lalu selepas Malaysia dituduh mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali sebagai tarian Malaysia dalam satu program promosi Malaysia yang disiarkan di saluran Discovery Channel.