suria

A(H1N1): Kedatangan pelancong asing terus meningkat

KUALA LUMPUR: Meskipun wabak Influenza A (H1N1) belum reda, kedatangan pelancong asing ke Malaysia terus meningkat pada paras 10.4 peratus pada bulan Ogos tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Beliau berkata bagi tempoh Ogos tahun ini, jumlah kedatangan pelancong adalah sebanyak 2,030,337 berbanding tempoh sama tahun lepas hanya sebanyak 1,839,235 orang.

"Kalau dilihat jumlah pelancong yang datang ke negara ini pada Januari hingga Ogos tahun ini ia meningkat sebanyak 4.4 peratus dengan jumlahnya sebanyak 15,380,505 pada tahun ini berbanding 14,730,437 pada tahun lepas.

"Walaupun mencatatkan kenaikan, tetapi sektor perhotelan mencatatkan penurunan sebanyak tiga peratus berbanding tahun lepas. Kita rasa banyak pelancong datang untuk bersama kawan, saudaramara dan boleh jadi juga mereka ini menginap di rumah inap desa.

"Di sebalik wabak H1N1, kami melihat petanda kukuh dalam sektor pelancongan. Selain itu, usaha kerajaan menganjurkan acaraacara bertaraf dunia seperti kejohanan Tenis Terbuka Malaysia esok dan konsert oleh Beyonce (Knowles) akan meningkatkan kedatangan pelancong asing ke negara ini," katanya kepada pemberita selepas melancarlam logo pelancongan 1Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Abdul Ghaffar A. Tambi.

Ng juga berkata kementeriannya mensasarkan 19 juta kedatangan pelancong asing ke Malaysia pada tahun ini.

Menjawab soalan mengenai konsert Beyonce pada 25 Okt ini dan kesannya kepada sektor pelancongan, Ng berkata: "Secara global teater, konsert, muzik dan hiburan adalah penyumbang terbesar kepada sektor pelancongan.

"Dasardasar kementerian adalah terus menyokong acaraacara bertaraf dunia seperti F1 (Formula 1), tenis, dan acara tokoh-tokoh terkenal dunia," katanya.

Mengenai logo pelancongan 1Malaysia yang akan menggantikan logo pelancongan sebelum ini, Ng berkata ia dilancarkan selaras dengan gagasan yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mengambil alih tampuk pemerintahan negara April lepas.

"Ini adalah logo yang ceria dan kalau dapat dilihat, ia mempamerkan Menara Berkembar Petronas yang juga menjadi ikon dunia, kemudian gambar rakyat yang berbilang kaum yang bersatu padu, gambar hutan sebagai ekopelancongan Malaysia, pulau dan pantai serta makanan warisan iaitu satay," katanya.

Logo baru itu berbentuk satu dengan berlatarbelakangkan warna biru dengan gambar Menara Berkembar Petronas, serta gambar berbilang masyarakat negara ini dan pelbagai tarikan pelancongan negara. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain