PETALING JAYA: PAS dan DAP - dua rakan sekutu dalam politik Malaysia yang sedang berkrisis di Negeri Selangor pada saat ini telah mencapai kata sepakat untuk duduk semeja pada 7 Oktober ini untuk membenamkan segala perbezaan yang tercetus di antara mereka.Perkara itu disahkan oleh Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahrir kepada mStar Online. Perbincangan meja bulat itu adalah yang julung-julung kalinya diadakan sejak Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali bertelagah secara terbuka dengan para pemimpin DAP dan juga PKR sejak tiga bulan yang lalu.Usaha itu dilihat sebagai langkah terbaru bagi menjernihkan hubungan 'keruh' antara pemimpin DAP dan PAS khususnya di Negeri Selangor, yang jelas kelihatan tidak harmoni dengan masing-masing saling bercanggah pendapat mengenai pelbagai isu termasuk mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengecam dan mengkritik di antara satu sama lain.Pada petang Isnin, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Khim dari DAP mendakwa Dr Hasan sengaja menumpukan kepada isu remeh-temeh di negeri itu sebagai percubaan untuk merosakkan reputasi Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan pentadbirannya.Malah Teng dalam serangan paling pedas ke atas Exco dari PAS itu berkata, Dr Hasan cuba untuk menggambarkan Khalid sebagai seorang yang tidak cekap, tidak tegas dan tidak berkemampuan dalam melaksanakan tugasnya.Menurut Teng, apa yang dilakukan oleh Dr Hasan beberapa bulan kebelakangan ini menunjukkan yang beliau mahu menyusahkan Khalid dan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.Kenyataan yang dikeluarkan oleh Teng semalam berhubung ketidakpuasan hatinya ke atas tindak tanduk Dr Hasan merupakan yang paling keras dan pedas berbanding kenyataan-kenyataan sebelum ini.Sepanjang tiga bulan lalu pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat khususnya PAS dan DAP secara terbuka berhadapan dengan krisis pertembungan pendirian khususnya dalam isu larangan jualan minuman keras di Shah Alan dan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat).Teng merupakan Pengerusi Selcat.Jadi kedua-dua parti itu tidak mempunyai banyak pilihan melainkan duduk semeja bagi mencari titik persamaan baru dalam menerajui Kerajaan Negeri Selangor yang kini dikongsi secara bersama dengan PKR.Pertemuan ini juga nampaknya diadakan ketika pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan telahpun bermula. Kempen pilihan raya kecil bermula 3 Oktober manakala pengundian adalah pada 11 Oktober."Perbincangan meja bulat ini diadakan bagi membuktikan bahawa anggapan wujudnya krisis kepercayaan dalam Pakatan Rakyat khususnya antara DAP dan PAS, lebih-lebih selepas tercetusnya isu pengharaman penjuakan minuman keras di Shah Alam, adalah tidak benar."Idea usaha ini ialah menggambarkan hubungan kami masih baik dan kami masih boleh duduk berbincang, dan perbezaan pandangan tidak harus disalah ertikan oleh mana-mana pihak sebagai satu krisis," kata Roslan.Pertemuan meja bulat ini yang akan dihadiri oleh 10 pemimpin mewakili setiap parti.PAS Selangor akan diwakili oleh Dr Hasan sendiri.Roslan memberitahu, pihaknya akan mengadakan pertemuan meja bulat kedua jika perlu, bergantung pada hasil pertemuan pertama."Sama ada akan dikeluarkan apa-apa resolusi, ia akan diputuskan pada pertemuan Rabu depan," katanya. REAKSI DAPDalam perkembangan terbaru, Pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah ketika dihubungi mStar Online memberitahu, partinya telah mengutarakan pandangan agar PAS-DAP mengadakan pertemuan meja bulat untuk memahami satu sama lain secara mendalam selaku komponen Pakatan Rakyat.Bagaimanpun kata beliau, tarikh dan masa untuk pertemuan kedua-dua parti komponen Pakatan Rakyat itu belum dicapai kata putus."Kami dalam Pakatan Rakyat, kami seharusnya bercakap antara satu sama lain dan memahami satu sama lain untuk mendapatkan pendirian bersama dalam isu-isu yang timbul," kata beliau sambil menambah, pihaknya mempunyai banyak isu untuk dibincangkan bersama.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor ini memberitahu, DAP mengemukakan idea untuk mengadakan pertemuan meja bulat itu kira-kira sebulan yang lalu.Ketika ditanya sama ada inisiatif itu digerakkan ekoran isu larangan jualan minuman keras di Shah Alam dan di kawasan majoriti masyarakat Islam di Selangor, Ean Yong berkata:"Tidak, tidak... ada banyak isu lain yang akan dibincangkan.""Agenda pertemuan ini juga belum ditentukan, belum dimuktamadkan lagi," katanya.