suria

Video rancangan pengeboman dari komputer riba Noordin Mat Top didedahkan

Gambar salah seorang pengebom berani mati, Dani Dwi Pernama yang diambil daripada siri fail perancangan terperinci pengeboman yang dijumpai dalam komputer riba milik suspek pengganas yang mati ditembak, Noordin Mohamed Top. --fotoAFP

JAKARTA: Polis Indonesia hari ini mendedahkan siri fail yang diambil daripada komputer riba suspek pengganas, Noordin Mohamed Top yang menunjukkan perancangan secara terperinci dan santai yang dilakukan oleh suspek-suspek pengganas sebelum insiden pengeboman di Jakarta Julai lalu.

Rakaman video daripada komputer riba yang dirampas dalam serbuan di Jawa Tengah bulan ini yang turut membunuh Noordin, 41, menunjukkan pengebom berani mati dan anggota-angota militan lain sedang berbincang dan membuat persediaan untuk dua pengeboman berani mati pada 17 Julai lalu yang telah mengorbankan tujuh nyawa.

Dalam salah satu video, dua pengebom, Dani Dwi Permana, 18, dan Nana Ikhwan Maulana, 28, kelihatan sedang melakukan senaman regangan berdekatan sebuah lot kosong di hadapan hotel-hotel yang menjadi sasaran pengeboman iaitu JW Marriot dan Ritz-Carlton.

Dalam satu video lain, kelihatan pengebom-pengebom dan penjual bunga di hotel itu, Ibrohim yang dikatakan membantu rancangan pengeboman itu dari dalam sedang memakan biskut dan epal di atas rumput di hadapan hotel.

Anggota militan keempat yang masih dalam buruan polis, Syaifudin Jaelani bercakap di belakang tabir: "America, dimusnahkan; Australia, dimusnahkan; Indonesia, dimusnahkan."

Dalam satu video lain, pengebom remaja, Dani dilihat sedang berada di hadapan hotel-hotel itu dan berkata, "Ini bukan membunuh diri, ini perbuatan baik."

"Kita lihat bagaimana mereka mempersiapkan diri, bagaimana mereka memfilemkan rancangan mereka dan tinjauan terhadap sasaran melalui kaca mata mereka," kata jurucakap polis Nanan Soekarna kepada wartawan.

"Kita lihat bagaimana mereka benar-benar mempersiapkan diri, ini bukan hanya sesuatu yang dikatakan oleh pihak polis."

Fail-fail lain yang dijumpai dalam komputer riba Noordin termasuk video-video menunjukkan pembelian dan perbincangan berhubung serangan yang akan berlaku serta surat-surat daripada Jaelani yang ditujukan kepada keluarganya bagi menerangkan struktur organisasi operasi yang dirancang. AFP

Artikel Berikut

Artikel Lain