suria

Akta Balai Seni Lukis Negara yang baru akan digubal - Rais Yatim

KUALA LUMPUR:Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Akta Balai Seni Lukis Negara yang baru akan digubal bagi mengantikan akta lama yang tidak lagi praktikal.

Akta baru ini akan memberi penekanan kepada pembangunan seni tampak, arca dan visual untuk membawa seni itu ke satu tahap yang lebih tinggi.

Menurutnya lagi, akta baru itu sudah siap digubal dan sedang menunggu kelulusan kabinet sebelum dibentangkan di parlimen.

“Belum lagi ada pengerti bagi seni arca visual dan tampak dalam akta lama yang digubal pada tahun 1959. Akta baru ini akan merangkumi kesemuanya,” kata beliau dalam satu sidang media selepas majlis perasmian pameran Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal Syed Jamil Sahil di Balai Seni Lukis Negara di sini petang Selasa.

Tambahnya lagi, pameran yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin ini merupakan satu penghargaan yang tinggi dalam karier Seniman Negara yang berumur 80 tahun itu.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah turut berangkat dalam upacara perasmian itu.

Sementara itu dalam majlis yang sama, lebih daripada 300 hasil karya Ahmad Jamal seperti lukisan dan arca dipamerkan.

Orang-ramai dipelawa untuk meyaksikan sendiri pameran yang bertajuk “Pameran Syed Ahmad Jamal: Pelukis” yang diadakan secara percuma di Aras Satu galeri 1A, Balai Seni Lukis Negara.

Pameran yang telah bermula pada 6 September lalu akan dilanjutkan sehingga 31 Januari tahun depan.

Menurut Rais, pameran itu memaparkan karya Datuk Ahmad Jamal daripada tahun 1950 hingga 2008 dan mengisahkan siapa sebenarnya dia.

“Nilai karya seni dalam pameran ini mencecah lebih daripada RM 10 juta. Ini menunjukkan Malaysia juga ada karya yang tinggi nilainya,” tambah beliau.

Hasil karya yang dipamerkan itu terdiri daripada koleksi Balai Seni Lukis negara dan koleksi peribadi peminat Ahmad Jamal sendiri.

Artikel Lain