PORT DICKSON: Seramai 1,275 daripada kira-kira 2,000 pengundi tentera yang tinggal di dalam kem hari ini telah keluar mengundi bagi memilih wakil rakyat baru pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang di Dewan Jeneral Tan Sri Sani, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) Kem Si Rusa sehingga proses pengundian ditutup jam 5 petang semalam.Manakala bagi pengundi pos di kalangan anggota polis, seramai 27 daripada 31 pengundi berdaftar sudah mengundi pada hari pertama semalam di Ibu Pejabat Polis Port Dickson di sini. Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar yakin baki pengundi yang masih belum mengundi hari ini akan menunaikan tanggungjawab mereka hari ini."Saya rasa kalau dapat hari ini hampir 70 peratus, baguslah tu... kita jangka bakinya akan datang esok kerana mungkin ada di kalangan mereka yang akan pulang dari bercuti," katanya kepada mStar Online.Keseluruhannya terdapat sejumlah 4,604 pengundi pos di kawasan DUN Bagan Pinang.Daripada jumlah itu 4,571 terdiri daripada anggota tentera, 31 anggota polis manakala dua pengundi pos dikategorikan sebagai pemilik tak hadir kerana bertugas di luar negara.Mereka merupakan sebahagian daripada 13,664 pengundi dalam DUN Bagan Pinang, yang turut membabitkan 9,060 pengundi biasa.Bagi anggota tentera yang tinggal di luar kem, kertas undi pos sudah pun dihantar kepada mereka kelmarin.Bagaimanapun Wan Ahmad berkata jika sehingga proses pengundian pada hari kedua ditutup hari ini, masih terdapat ramai pengundi yang tidak berkesempatan untuk berbuat demikian, pihaknya akan berbincang dengan pihak kem untuk melanjutkan proses pembuangan undi sehigga Sabtu."Memang kita buka dua hari iaitu 8 dan 9 haribulan, tapi kalau esok tak habis juga... mungkin 10 haribulan pun kita akan buka."Ini kerana hak mereka untuk mengundi itu tetap ada, dan tempoh selesai mengundi secara keseluruhan ialah pada pukul 5 petang pada 11 haribulan."Bagi SPR itu tidak menjadi masalah, ia akan ditentukan oleh pihak pengurusan kem esok," katanya.Selain itu beliau turut memberi jaminan mengenai tahap keselamatan karun undi pos."Apabila selesai proses pengundian petang ini, karung undi pos itu akan dibawa ke pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya dengan diiringi oleh polis dan tidak akan disimpan dalam kem."Tak perlu timbulkan sebarang keraguan kerana karung undi tidak ditinggal di dalam kem," katanya.